KOTA TINGGI, 2 Jun – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya hanya kerana Johor telah membubarkan DUN bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Beliau berkata, kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke bahawa Negeri Sembilan boleh membubarkan DUN dengan segera selepas Johor tidak mengambil kira proses perundangan serta perlembagaan negeri berkenaan.
Menurut Mohamed Khaled, sebarang keputusan untuk membubarkan DUN Negeri Sembilan perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan persetujuan Undang Luak Yang Empat.
“Seseorang tidak boleh bertindak sendiri. Perkara itu perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar dan baginda pula tidak boleh bertindak secara bersendirian kerana perlu bersama Empat Undang,” katanya pada Program Sembang Santai Bersama Pemandu Kereta Sewa dan Teksi di Terminal Bas dan Teksi Tun Sri Lanang, di sini, hari ini.
Beliau mengulas laporan sebelum ini yang memetik Anthony Loke sebagai berkata Negeri Sembilan bersedia membubarkan DUN sekiranya Johor mengambil langkah tersebut terlebih dahulu.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata hanya persetujuan bersama antara Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan Undang Luak Yang Empat boleh membolehkan pembubaran DUN dilaksanakan.
“Kalau empat Undang dan Yang di-Pertuan Besar bersetuju, maka bolehlah berlaku pembubaran. Tetapi jika tidak ada persetujuan itu, maka tidak akan berlaku Pilihan Raya Negeri di Negeri Sembilan,” katanya.
Semalam, Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran DUN Johor selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor bagi membuka laluan kepada PRN Johor ke-16. Suruhanjaya Pilihan Raya mempunyai tempoh sehingga 60 hari untuk mengadakan pilihan raya selepas pembubaran DUN. – Berita Harian
