ISU SEMASA
• Analisis PRU: Peralihan sokongan pengundi muda mencorakkan landskap politik baharu. • Suara Rakyat: Isu kos sara hidup dan pemulihan ekonomi terus menjadi perbincangan utama. • Parlimen: Kebebasan bersuara yang bertanggungjawab wadah pemantapan demokrasi negara. • Komentar Jurnal: Kepentingan maklumat sahih dan berfakta dalam mendepani cabaran isu semasa.

TUMINAH JANJI TERUSKAN PEMBANGUNAN PANTAI KUNDOR, RAYU MANDAT PENGGAL KEDUA

1–2 minutes

MELAKA, 12 November – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor, Tuminah Kadi, merayu pengundi memberikan peluang sekali lagi kepadanya untuk meneruskan agenda pembangunan kawasan itu sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.

Beliau menegaskan, pelbagai projek pembangunan yang dirancang bukan sekadar janji atau retorik politik, sebaliknya telah dibincangkan di peringkat kerajaan negeri dan berada dalam perancangan pembangunan kawasan berkenaan.

Menurut Tuminah, sepanjang lebih empat tahun berkhidmat sebagai wakil rakyat, beberapa isu utama yang sekian lama membelenggu penduduk berjaya diselesaikan, termasuk masalah bekalan air bersih, menaik taraf jalan raya serta isu tanah Belanda.

Malah, kejayaan menyelesaikan isu tanah Belanda yang berlarutan selama puluhan tahun disifatkan sebagai antara pencapaian paling bermakna sepanjang perkhidmatannya apabila 37 keluarga akhirnya berjaya memperoleh hak milik geran tanah dan tidak perlu berpindah ke rumah pangsa seperti yang diarahkan sebelum ini.

Dalam perkembangan lain, projek menambak kawasan pantai bagi menangani masalah hakisan di Pantai Puteri yang dilaksanakan sejak dua tahun lalu kini memasuki peringkat akhir.

Tuminah menjelaskan, beberapa projek susulan termasuk penempatan semula gerai penjaja kecil, pembinaan tempat letak kereta, tapak perkhemahan serta arca ikonik Pantai Puteri hanya boleh dimulakan selepas kerja penambakan selesai dan tanah mencapai tahap pemadatan yang diperlukan.

Beliau turut menolak tanggapan bahawa kelewatan pelaksanaan projek berkenaan berpunca daripada kegagalan perancangan, sebaliknya menjelaskan ia perlu mengikut proses teknikal bagi memastikan pembangunan dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Pada PRN kali ini, Tuminah yang merupakan penyandang kerusi N.12 Pantai Kundor bakal berdepan pertandingan satu lawan satu dengan calon Bersatu, Datin Seri Dr. Asmah Samat.

Justeru, beliau berharap pengundi memberikan mandat kepada BN bagi memastikan kesinambungan projek pembangunan yang telah dirancang dapat direalisasikan demi kepentingan penduduk setempat.

“Kita kena menang dulu, baru projek dapat diteruskan. Kita perlukan mandat untuk kesinambungan projek,” katanya kepada Mynewshub.

Beliau turut mengingatkan pengundi supaya keluar menunaikan tanggungjawab lebih awal pada 14 November ini berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu, khususnya kemungkinan hujan pada sebelah petang.

Kongsi pada platform lain