SEREMBAN, 2 Jun – Pemuda UMNO Negeri Sembilan menyatakan persetujuan sekiranya Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dibubarkan bagi memberi peluang kepada rakyat menentukan semula mandat mereka melalui pilihan raya.
Ketuanya, Mohamad Fadil Md Zin berkata, pembubaran DUN dilihat wajar dalam situasi politik semasa demi memastikan kestabilan serta kemakmuran negeri terus terpelihara.
Menurut beliau, mandat baharu daripada rakyat mampu memberikan hala tuju yang lebih jelas kepada pentadbiran negeri dalam menghadapi pelbagai cabaran semasa.
Sementara itu, Ketua Wanita UMNO Negeri Sembilan, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid berkata, jentera parti sentiasa berada dalam keadaan bersiap siaga sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan dalam masa terdekat.
Beliau berkata, kenyataan Setiausaha Agung DAP merangkap Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke pada Konvensyen Pakatan Harapan di Johor sebelum ini turut menimbulkan perbincangan dalam kalangan rakyat mengenai kemungkinan pembubaran DUN Negeri Sembilan.
“Rakyat Negeri Sembilan mungkin merasakan DUN negeri ini perlu dibubarkan kerana ucapan Anthony Loke di Konvensyen PH lalu.
“Tapi soalnya, bolehkah pembubaran itu dibuat dengan keadaan krisis adat dan perlembagaan yang sedang berlaku sekarang?
“Apa-apa pun Wanita UMNO Negeri Sembilan sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia,” katanya.
Terdahulu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun dilaporkan tidak menolak kemungkinan PRN negeri itu diadakan tahun ini, namun menegaskan keputusan tersebut bergantung kepada kesesuaian semasa.
Menurut beliau, semua kemungkinan sedang dipertimbangkan termasuk mengadakan pilihan raya dalam masa terdekat atau pada masa akan datang.
“Kita tengoklah keadaan. Kita rasa Pilihan Raya Umum pun dah dekat tapi saya tak menolak kemungkinan PRN tahun ini, kemungkinan tahun depan… Insya-ALLAH.
“Saya pun rasa cantik diadakan sekarang atau cantik akan datang…. semua cantik,” katanya. – SinarHarian
