SEREMBAN, 3 Jun – Spekulasi mengenai kemungkinan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan terus hangat diperkatakan susulan sesi menghadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun bersama Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Hinggap pada Rabu yang berlangsung hampir dua jam.
Aminuddin yang ditemui media selepas meninggalkan istana memaklumkan pertemuan itu merupakan sesi rutin seperti biasa. Namun, pembatalan sidang media yang dijadualkan pada jam 1.30 petang atas alasan beliau mempunyai urusan penting telah mencetuskan pelbagai persoalan.
Pada masa sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin mengakui hanya mendengar khabar angin mengenai pembubaran DUN dan tidak menerima sebarang maklumat rasmi mengenainya.
Sebelum ini, kehadiran beberapa ADUN Pakatan Harapan dan pemimpin parti ke Kediaman Rasmi Menteri Besar bagi menghadiri mesyuarat pada Selasa turut mengundang spekulasi berkaitan persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN), meskipun DAP Negeri Sembilan menegaskan mesyuarat itu hanya membincangkan kesiapsiagaan jentera pilihan raya PH. – SinarHarian
