KUALA LUMPUR, 19 Jun – Perikatan Nasional (PN) mengesahkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) telah menerima dan mengambil maklum mengenai perubahan kepimpinan parti termasuk peletakan jawatan Pengerusi PN serta pelantikan Pengerusi Baharu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pengesahan itu dibuat menerusi maklum balas rasmi ROS bertarikh 19 Jun 2026 berhubung urusan pentadbiran dan pengurusan parti.
Menurut beliau, ROS turut mengesahkan penerimaan minit mesyuarat Majlis Tertinggi PN bertarikh 14 Mac 2026 serta senarai kepimpinan dan pelantikan ahli jawatankuasa Majlis Tertinggi baharu untuk direkodkan.
Sehubungan itu, PN menegaskan bahawa segala urusan pentadbiran dan aktiviti parti akan terus dilaksanakan mengikut perlembagaan parti serta mematuhi peruntukan undang-undang berkaitan.
Dalam masa sama, PN menegaskan bahawa sebarang aktiviti atau mesyuarat yang menggunakan nama Perikatan Nasional tidak boleh dilaksanakan tanpa keizinan Pengerusi PN, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
