SEREMBAN, 22 Jun – Semangat kebersamaan, disiplin serta komitmen tinggi dalam kalangan jentera parti menjadi faktor utama dalam memperkukuhkan kesiapsiagaan Barisan Nasional (BN) menghadapi pilihan raya akan datang.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir berkata demikian selepas menghadiri Sesi Taklimat Gerak Kerja Pilihan Raya bersama jentera BN Cawangan Felda Palong 1 baru-baru ini.
Menurut beliau, sesi tersebut bertujuan menyelaras gerak kerja di semua peringkat selain memperkukuhkan kesatuan dan persefahaman dalam kalangan ahli parti.
Katanya, aspek seperti kesiapsiagaan jentera, strategi mendekati pengundi serta disiplin pasukan perlu diberikan perhatian bagi memastikan setiap gerak kerja dapat dilaksanakan dengan tersusun.
“Keberkesanan sesebuah organisasi bukan hanya bergantung kepada perancangan strategi, tetapi juga kekuatan pasukan yang bergerak dengan satu matlamat dan komitmen bersama,” katanya.
Beliau berkata, semangat perjuangan yang ditunjukkan oleh kepimpinan serta ahli-ahli BN di peringkat akar umbi menjadi pemangkin penting dalam usaha memperjuangkan kestabilan dan kesejahteraan rakyat.
Dalam masa sama, Mohd Zaidy turut meneruskan Program Ziarah Kasih DUN Jeram Padang di Felda Palong 1 bagi mendekati masyarakat serta mendengar sendiri pandangan penduduk setempat.
Antara yang diziarahi ialah Md Nor Mahad, Mustafa Md Zain, Sialus Abu Amat, Abd Azis Abbas serta Mohd Ibrahim Madasah.
Beliau berkata, pendekatan turun padang merupakan medium penting bagi pemimpin memahami keperluan rakyat selain mengeratkan hubungan bersama komuniti.
“Hubungan antara pemimpin dan rakyat perlu sentiasa diperkukuhkan. Dengan mendekati masyarakat secara langsung, setiap isu dan keperluan mereka dapat diberi perhatian sewajarnya,” katanya.
Beliau turut mendoakan agar semua yang diziarahi diberikan kesihatan yang baik, dipermudahkan segala urusan serta sentiasa berada dalam rahmat dan keberkatan.
Mohd Zaidy turut merakamkan penghargaan kepada seluruh kepimpinan dan ahli BN Cawangan Felda Palong 1 atas komitmen serta semangat yang terus ditunjukkan dalam memperkukuhkan gerak kerja parti dan khidmat kepada rakyat.
