Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Akmal Saleh mempersoalkan naratif yang mendakwa Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berbelanja melebihi peruntukan yang ditetapkan, sambil meminta perbandingan turut dibuat terhadap kementerian-kementerian lain.
Menurut Akmal, angka peruntukan asal dan perbelanjaan sebenar kementerian lain menunjukkan terdapat keadaan perbelanjaan melebihi peruntukan asal, yang menurut beliau perlu dilihat dalam konteks peruntukan atau bajet tambahan.
Beliau turut mempersoalkan sama ada keadaan tersebut juga mahu dianggap sebagai satu kesalahan sekiranya kementerian lain turut mempunyai komitmen atau perbelanjaan tambahan.
“Saya sertakan juga lebihan komitmen daripada kementerian yang lain untuk dinilai. Ada yang mula buat naratif jahat bahawa KKDW belanja lebih daripada bajet yang ditetapkan. Jadi kementerian lain yang belanja lebih daripada peruntukan yang ditetapkan ini juga tidak betul ke?”
Akmal berkata, peruntukan tambahan merupakan sebahagian daripada proses pengurusan kewangan kerajaan dan bukan sesuatu yang membolehkan seseorang menteri berbelanja sesuka hati.
“Itu namanya bajet tambahan yang memang ada dalam setiap perbelanjaan setiap tahun. Dan bajet tambahan itu juga perlu dikemukakan kepada Kementerian Kewangan untuk kelulusan.”
Beliau menegaskan kementerian berperanan sebagai pelaksana kepada bajet yang telah diluluskan, bukannya mempunyai kuasa untuk membelanjakan wang kerajaan tanpa melalui proses kewangan yang ditetapkan.
“Bukan menteri boleh sesuka hati berbelanja. Kementerian adalah pelaksana atas bajet yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan.”
Akmal turut menyindir pihak yang menurutnya gagal memahami asas pengurusan kewangan kerajaan sebelum membuat kesimpulan mengenai perbelanjaan kementerian.
“Itu pun tidak faham, macam mana nak tadbir negara dengan baik.”
Kenyataan Akmal itu dibuat ketika isu peruntukan KKDW menjadi perhatian susulan dakwaan terdapat hampir RM1 bilion peruntukan yang telah diluluskan tetapi belum disalurkan, sehingga menimbulkan isu kelewatan bayaran kepada kontraktor.
