ISU SEMASA
• Analisis PRU: Peralihan sokongan pengundi muda mencorakkan landskap politik baharu. • Suara Rakyat: Isu kos sara hidup dan pemulihan ekonomi terus menjadi perbincangan utama. • Parlimen: Kebebasan bersuara yang bertanggungjawab wadah pemantapan demokrasi negara. • Komentar Jurnal: Kepentingan maklumat sahih dan berfakta dalam mendepani cabaran isu semasa.

Pavilion Negeri Sembilan di MAHA 2026: Kerajaan Negeri Ambil Teguran, Fokus Penambahbaikan

2–3 minutes

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan mengambil maklum pelbagai pandangan, teguran dan komen orang ramai berhubung Pavilion Negeri Sembilan pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026.

Exco Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan Negeri Sembilan berkata, setiap pandangan masyarakat akan dilihat sebagai input penting bagi memastikan penyertaan negeri itu dalam acara berkenaan dapat dipertingkatkan pada masa akan datang.

Menurutnya, isu pavilion bukan sekadar berkaitan reka bentuk atau fizikal sebuah bangunan, sebaliknya turut melibatkan cara Negeri Sembilan membawa wajah, identiti dan potensi negeri kepada pengunjung dari seluruh negara.

Beliau menjelaskan, Pavilion ‘Kekal’ Negeri Sembilan merupakan projek yang diperuntukkan melalui Belanjawan Negeri Sembilan 2025, yang diluluskan dan dimulakan di bawah pentadbiran sebelum PRN 2026.

“Proses pembinaan dan penyempurnaannya pula berlangsung sehingga tahun 2026 dan disiapkan di bawah pentadbiran baharu,” katanya.

Tambah beliau, projek berkenaan bukan di bawah portfolio Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan, sebaliknya disiapkan dalam tempoh lapan bulan dengan kos hampir RM3 juta sebelum digunakan ketika MAHA 2026.

Katanya, pavilion tersebut kini menjadi sebahagian daripada aset Negeri Sembilan dan perkara lebih penting adalah memastikan aset berkenaan dapat dimanfaatkan sebaik mungkin serta memberikan impak maksimum kepada rakyat dan negeri.

“MAHA merupakan platform besar untuk kita memperkenalkan makanan, usahawan, produk tempatan, teknologi pertanian, industri asas tani, budaya, warisan, pelancongan, agropelancongan serta peluang ekonomi Negeri Sembilan.

“Sebab itu, setiap teguran dan pandangan masyarakat kita terima sebagai input untuk penambahbaikan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa konsep, reka bentuk, persembahan, kandungan dan pengalaman pengunjung perlu dinilai semula bagi penyertaan MAHA pada masa akan datang.

Menurutnya, Pavilion Negeri Sembilan perlu mampu memberikan pengalaman yang lebih menyeluruh dengan mengetengahkan makanan, usahawan, budaya, Adat Perpatih, warisan, produk tempatan serta destinasi pelancongan negeri.

“Kita mahu apabila seseorang melangkah masuk ke Pavilion Negeri Sembilan, mereka bukan sekadar melihat produk, tetapi merasai Negeri Sembilan.

“Apa yang sudah ada, kita manfaatkan sebaik mungkin. Apa yang masih kurang, kita perbaiki. Apa yang mempunyai potensi, kita tambah nilainya,” katanya.

Beliau berkata, pandangan masyarakat akan terus diambil kira dalam merancang penyertaan Negeri Sembilan pada masa akan datang.

“Kita mahu Pavilion Negeri Sembilan bukan sekadar ‘ada’ di MAHA, tetapi menjadi ruang yang menarik orang untuk datang, mengenali Negeri Sembilan dan akhirnya membuat mereka mahu berkunjung sendiri ke negeri kita.

“Itulah tanggungjawab kita,” katanya.

Kongsi pada platform lain