Melaka, 29 September – Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka menafikan sebarang kaitan dengan akaun media sosial menggunakan nama ‘UMNOMelakaFans’ yang tular susulan satu hantaran berkaitan pemergian Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.
Setiausahanya, Datuk Mustafa Musa berkata, akaun berkenaan bukan platform rasmi UMNO Melaka dan segala kandungan yang diterbitkan tidak pernah mendapat kebenaran atau mandat daripada parti.
Menurutnya, penjelasan itu penting bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat yang mungkin menganggap hantaran, grafik atau komen daripada akaun tersebut sebagai pendirian rasmi UMNO Negeri Melaka.
“Kami memandang serius penggunaan nama dan identiti yang boleh menimbulkan kekeliruan serta menyebabkan masyarakat mengaitkan kandungan akaun tersebut dengan UMNO Negeri Melaka,” katanya dalam kenyataan media pada Isnin.
Beliau turut meminta orang ramai supaya tidak menganggap sebarang kandungan yang diterbitkan menerusi akaun ‘UMNOMelakaFans’ sebagai kenyataan atau pendirian rasmi UMNO Negeri Melaka.
