Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mencadangkan supaya MCA memberi tumpuan kepada kawasan bandar dalam menghadapi pilihan raya akan datang, manakala kawasan majoriti Melayu diserahkan kepada parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain.
Cadangan itu dikemukakan susulan resolusi Perhimpunan Agung Pemuda MCA yang antara lain menggesa supaya pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) dikembalikan, bermula di Wilayah Persekutuan.
Mengulas perkara tersebut, Akmal menegaskan pendirian Pemuda MCA berhubung pelaksanaan pilihan raya PBT tidak mewakili pendirian Pemuda UMNO mahupun Pemuda BN.
Beliau berkata, cadangan MCA itu perlu dilihat dalam konteks pembahagian kawasan pilihan raya yang lebih sesuai dengan kedudukan dan kekuatan parti masing-masing dalam gabungan BN.
“Saya ingin mencadangkan kepada MCA supaya selepas ini MCA bertanding di kawasan bandar sahaja dan kawasan majoriti Melayu boleh diserahkan kepada parti komponen lain,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Kenyataan itu sekali lagi memperlihatkan perbezaan pandangan dalam kalangan komponen BN berhubung isu pilihan raya PBT, yang berpotensi mencetuskan perbincangan mengenai strategi dan pembahagian kerusi dalam gabungan berkenaan.
