SEREMBAN, 18 Mei – Nada politik antara Pakatan Harapan dan Barisan Nasional dilihat semakin panas apabila Pemuda UMNO Seremban memberi bayangan bahawa “perang politik” antara kedua-dua blok sudah bermula dan tiada lagi ruang untuk rundingan.
Dalam satu kenyataan keras di Facebook, mereka mempersoalkan tindakan pimpinan PH yang sebelum ini lantang menyerang UMNO dalam konvensyen dan pentas ceramah, namun kini kembali menghulurkan tangan untuk berbincang selepas BN Johor mengumumkan kesediaan bertanding solo pada PRN akan datang.
“Awal-awal lagi UMNO sudah isytihar perang, PH pun bertindak sedemikian, jadi kita lawan,” katanya.
Kenyataan itu turut menyindir akar umbi PH yang didakwa pernah diyakinkan bahawa UMNO adalah “pengkhianat”, namun kini diminta menerima semula kerjasama politik atas nama kestabilan.
“Adakah akar umbi PH ditipu? Atau akar umbi memang dah biasa ditipu?” katanya lagi.
Pemuda UMNO Seremban juga menegaskan bahawa UMNO Negeri Sembilan tidak akan bersama PH untuk membentuk kerajaan negeri, sambil menutup terus ruang rundingan antara kedua-dua pihak.
“UMNO bukan rakan komponen kamu. Tiada apa lagi nak dirundingkan. Fullstop!”
Naratif “perang politik” itu muncul ketika Anwar Ibrahim menyatakan hasrat untuk bertemu Ahmad Zahid Hamidi bagi membincangkan keputusan BN Johor yang mahu bergerak solo dalam PRN Johor.
Namun kenyataan dari akar umbi UMNO itu memberi gambaran bahawa sebahagian pimpinan dan penyokong parti sudah bersedia memasuki fasa politik lebih agresif menjelang pilihan raya akan datang, khususnya di negeri-negeri yang dilihat menjadi medan ujian kekuatan sebenar antara PH dan BN.
Dalam perkembangan sama, pemerhati politik melihat ketegangan ini bukan lagi sekadar soal kerjasama pilihan raya, tetapi perebutan dominasi pengaruh Melayu dan hala tuju politik pasca-Kerajaan Perpaduan.
