PETALING JAYA, 20 Mei – Malaysia menggesa rejim Zionis Israel supaya membebaskan segera 25 rakyat negara ini yang ditahan ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) di luar perairan Cyprus pada 18 Mei lalu.
Menteri Luar, Mohamad Hasan menegaskan tindakan memintas dan menahan kumpulan tersebut adalah bercanggah dengan hak asasi manusia serta undang-undang antarabangsa kerana kapal berkenaan tidak berada dalam perairan Israel ketika kejadian berlaku.
Menurut beliau, Malaysia memandang serius tindakan pihak berkuasa Israel yang didakwa menahan peserta misi kemanusiaan antarabangsa termasuk rakyat Malaysia walaupun mereka berada jauh di luar kawasan perairan negara itu.
“Kita mendesak agar pihak rejim Zionis Israel memberikan layanan yang sempurna kepada mereka dan membebaskan mereka dengan segera kerana ini adalah bertentangan dengan hak asasi dan undang-undang antarabangsa,” katanya pada sidang media di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, Selasa.
Mohamad turut memaklumkan bahawa beberapa rakyat negara lain juga dilaporkan ditahan dalam insiden sama.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau merakamkan penghargaan kepada Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan serta kerajaan Turkiye atas bantuan membawa pulang 10 rakyat Malaysia yang ditahan lebih awal.
“Kita minta supaya mereka diberi layanan yang sepatutnya dan dibebaskan segera,” katanya lagi.
Sebelum ini, lima lagi rakyat Malaysia turut ditahan pihak berkuasa Greece selepas kapal mereka karam ketika cuba membawa pulang kapal berkaitan misi tersebut.
Menurut Mohamad, tiga individu telah dibebaskan lebih awal manakala dua lagi iaitu kapten dan pembantu kapten ditahan untuk dibicarakan sebelum mahkamah akhirnya memutuskan untuk membebaskan mereka.
“Mereka semua telah balik ke Istanbul. Kita ucapkan terima kasih sekali lagi kepada rakan sejawat saya, Hakan Fidan, dan juga kerajaan Turkiye,” katanya. – Bernama
