ISU SEMASA
Analisis PRU: Peralihan sokongan pengundi muda mencorakkan landskap politik baharu. Suara Rakyat: Isu kos sara hidup dan pemulihan ekonomi terus menjadi perbincangan utama. Parlimen: Kebebasan bersuara yang bertanggungjawab wadah pemantapan demokrasi negara. Komentar Jurnal: Kepentingan maklumat sahih dan berfakta dalam mendepani cabaran isu semasa.

Rafizi Ramli : Terima Kasih PKR

2–3 minutes

KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Rafizi Ramli mengesahkan beliau telah secara rasmi keluar daripada PKR selepas menghantar borang pemberhentian keahlian melalui aplikasi ADIL yang menguruskan keahlian parti itu.

Menurut beliau, keputusan tersebut dibuat selepas menerima pengesahan bahawa surat peletakan jawatannya sebagai Ahli Parlimen telah diterima oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Johari Abdul.

Rafizi berkata, segala proses dilakukan secara teratur dengan mengambil kira prinsip demokrasi serta keperluan undang-undang, termasuk mengosongkan kerusi Parlimen bagi memulangkan semula mandat kepada rakyat.

Dalam penjelasannya, beliau turut menjawab persoalan mengenai kemungkinan bertanding semula pada masa akan datang. Katanya, pindaan Perlembagaan pada tahun 2022 berkaitan Akta Anti Lompat Parti membolehkan seseorang ahli parlimen yang mengosongkan kerusi bertanding semula, berbeza dengan peruntukan sebelum ini yang melarang tindakan sedemikian selama lima tahun.

Beliau juga menjelaskan bahawa Pilihan Raya Kecil (PRK) tidak semestinya diadakan sekiranya kekosongan berlaku selepas tempoh tiga tahun sesuatu penggal Parlimen, kecuali jika kekosongan itu memberi kesan terhadap majoriti kerajaan sehingga boleh menumbangkan kerajaan sedia ada, tertakluk kepada tafsiran Speaker Dewan Rakyat.

“Jadi sepatutnya tidak ada PRK, tetapi kita tunggu keputusan rasmi daripada Speaker,” katanya.

Rafizi turut menegaskan bahawa isu lompat parti tidak timbul kerana beliau hanya keluar daripada PKR selepas meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen. Menurutnya lagi, tindakan itu juga tidak tertakluk kepada bon RM10 juta yang dikenakan PKR terhadap ahli parlimennya kerana perjanjian tersebut secara jelas mengecualikan ahli yang mengosongkan kerusi terlebih dahulu sebelum keluar parti.

Dalam kenyataannya, beliau turut membidas dakwaan Setiausaha Agung PKR yang kononnya mempunyai bukti tangkap layar menunjukkan beliau menyertai parti baharu lebih awal.

Katanya, pembuktian keahlian sesebuah parti di mahkamah perlu berdasarkan rekod rasmi parti berkenaan, dan rekod Parti BERSAMA menunjukkan beliau hanya menyertai parti itu selepas peletakan jawatan dibuat.

Mengimbau perjalanan politiknya, Rafizi berkata beliau telah mengabdikan hampir keseluruhan kehidupan dewasanya selama 28 tahun untuk membina PKR sehingga parti itu berjaya menjadi kerajaan Persekutuan.

Namun, katanya, apabila berada di kedudukan kepimpinan tertinggi, beliau merasakan tanggungjawab untuk bersuara dan mengambil tindakan demi memastikan perjuangan politik terus membawa manfaat kepada rakyat serta mengurangkan kerosakan dalam masyarakat.

“BERSAMA masih kecil, masih kain putih dan boleh dibentuk,” katanya sambil mengajak penyokong yang sehaluan untuk menyertai parti tersebut serta memberi tumpuan kepada “12 Agenda Kancil” yang dibawa parti itu.

Beliau turut menitipkan pesan kepada rakan-rakan yang masih kekal bersama PKR dan Pakatan Harapan agar terus bercakap benar kepada pimpinan walaupun perkara itu sukar dilakukan.

Di akhir kenyataannya, Rafizi berkata beliau kini kembali menjadi rakyat biasa tanpa jawatan dan pangkat, namun berada dalam keadaan tenang dan gembira untuk memulakan perjuangan baharu dari bawah.

Kongsi pada platform lain