PUTRAJAYA, 20 Mei – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan pihaknya kini berada dalam keadaan siap siaga sepenuhnya bagi menghadapi sebarang kemungkinan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) melibatkan Melaka, Johor dan Negeri Sembilan dalam tempoh terdekat.
Pengerusi SPR, Ramlan Harun berkata, pelbagai langkah persediaan awal sedang giat dilaksanakan termasuk penyelarasan operasi bersama pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri terbabit.
Menurut beliau, antara tindakan proaktif yang dilaksanakan termasuk pengemaskinian lokasi pusat mengundi, penyediaan kemudahan logistik, latihan petugas pilihan raya serta penilaian keperluan peralatan pilihan raya di negeri-negeri berkaitan.
“Ia termasuk penyelarasan antara Pejabat PRN dengan pihak pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri terbabit.
“Selain itu, kita juga melaksanakan pengemaskinian lokasi dan kemudahan logistik pusat mengundi, selain mengadakan latihan bersama petugas pilihan raya serta penilaian keperluan peralatan pilihan raya di negeri berkaitan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan bahawa SPR turut giat melakukan penelitian dan pengumpulan maklumat berkaitan keperluan operasi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Katanya, penelitian itu merangkumi aspek perolehan, pengurusan petugas, bahan pilihan raya dan komponen lain yang berkaitan dengan kelancaran proses pilihan raya.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa anggaran kos keseluruhan pilihan raya masih belum dimuktamadkan kerana ia bergantung kepada keperluan semasa serta ketetapan pelaksanaan PRU yang akan diputuskan kelak.
Menurut Ramlan, implikasi kewangan pelaksanaan pilihan raya dipengaruhi beberapa faktor termasuk jumlah pengundi berdaftar, bilangan pusat mengundi, penggunaan teknologi serta keperluan operasi semasa.
“SPR sentiasa bekerjasama dengan agensi berkaitan termasuk Kementerian Kewangan bagi memastikan segala keperluan dan perolehan berkaitan pilihan raya dapat diuruskan secara teratur dan berhemah,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada, SPR mempunyai tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran untuk melaksanakan proses pilihan raya.
Tambah beliau, momentum persiapan yang sedang dilaksanakan ketika ini akan diteruskan bagi memastikan urusan pilihan raya dapat dijalankan secara cekap, lancar dan teratur.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim membayangkan bahawa PRU16 berkemungkinan diadakan lebih awal berbanding tempoh akhir penggal semasa yang dijadualkan tamat pada Disember 2027.
Dalam pada itu, Ramlan berkata, SPR sentiasa bersedia menghadapi kemungkinan pembubaran Parlimen selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang pilihan raya yang berkuat kuasa.
Katanya, sebagai badan pengendali pilihan raya negara, SPR melaksanakan persediaan secara berterusan melibatkan pengurusan daftar pemilih, latihan petugas, penyediaan pusat mengundi, pengurusan teknologi pilihan raya, pengundian pos serta penyediaan peralatan seperti kertas undi, peti undi dan dakwat pilihan raya.
Beliau turut mengingatkan bahawa sejak 15 Disember 2021, SPR telah melaksanakan mekanisme pendaftaran pemilih secara automatik serta kemudahan pengemaskinian tempat mengundi sepanjang masa.
“Daftar pemilih semasa sentiasa diselenggara, dikemas kini dan diwartakan setiap bulan mengikut peruntukan perundangan ditetapkan,” katanya.
Selain itu, SPR juga menjalankan semakan berkala terhadap stok simpanan bahan pilihan raya dan keperluan teknikal lain bagi memastikan proses pilihan raya dapat dilaksanakan dalam tempoh ditetapkan sekiranya Parlimen dibubarkan secara mengejut. – Buletin TV3
