KUALA LUMPUR, 20 Mei – Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Johari Abdul memaklumkan beliau telah menerima pemakluman rasmi berhubung kekosongan luar jangka melibatkan kerusi Dewan Rakyat bagi kawasan P.100 Pandan dan P.118 Setiawangsa.
Dalam satu kenyataan media hari ini, beliau berkata perkara itu akan dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia untuk tindakan lanjut selaras dengan Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang berkuat kuasa.
Menurut beliau, Parlimen Malaysia menghormati proses demokrasi dan ketetapan Perlembagaan Persekutuan dalam memastikan setiap kekosongan kerusi Dewan Rakyat diurus secara teratur, telus serta mengikut lunas undang-undang negara.
Beliau turut menyeru orang ramai supaya bertenang dan mendapatkan maklumat sahih menerusi saluran rasmi kerajaan serta pihak berkuasa berkaitan bagi mengelakkan penyebaran maklumat tidak tepat.
Setakat ini, tiada butiran lanjut didedahkan mengenai punca kekosongan kedua-dua kerusi Parlimen berkenaan.
