KUALA LUMPUR, 21 Mei – Jabatan Peguam Negara (AGC) membantah permohonan Badan Peguam Malaysia untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman terhadap keputusan mengklasifikasikan kes rasuah melibatkan Ahmad Zahid Hamidi berkaitan dana Yayasan Akalbudi sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
Perkara itu dimaklumkan oleh Peguam Kanan Persekutuan, Nurhafizza Azizan yang mewakili AGC ketika pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke Yee Ching di Kuala Lumpur hari ini.
Dalam permohonan yang difailkan, Badan Peguam menamakan Peguam Negara serta Ahmad Zahid sebagai responden dan memohon supaya keputusan NFA bertarikh 8 Januari lalu diisytiharkan tidak sah serta terbatal. Mereka turut mendakwa keputusan tersebut dibuat melangkaui bidang kuasa Peguam Negara.
Sebelum ini, AGC memutuskan tiada tindakan lanjut terhadap 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi yang dihadapi Ahmad Zahid selepas meneliti keseluruhan bahan bukti serta keterangan baharu.
Menurut AGC, siasatan lanjut dan terperinci telah dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia termasuk melibatkan aspek sumber dana, kaedah perolehan dan penggunaan dana berkenaan.
Dalam prosiding sama, Nurhafizza turut memaklumkan bahawa AGC akan memfailkan permohonan kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 7 Mei lalu yang membenarkan rayuan Badan Peguam berhubung tindakan pendakwaan menghentikan prosiding terhadap Ahmad Zahid.
Keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini mengembalikan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi untuk pendengaran substantif semakan kehakiman.
Sementara itu, peguam Mohamed Shahrul Fazli Kamarulzaman yang mewakili Ahmad Zahid berkata pihaknya juga akan memfailkan permohonan sama di Mahkamah Persekutuan.
Beliau turut memohon supaya prosiding semakan kehakiman berkaitan keputusan NFA itu digantung sementara menunggu pelupusan rayuan di Mahkamah Persekutuan.
Mahkamah Tinggi kemudian menetapkan 30 Jun ini untuk memutuskan sama ada permohonan kebenaran oleh Badan Peguam perlu didengar atau digantung sementara menunggu perkembangan rayuan di Mahkamah Persekutuan. – Bernama
