JAKARTA, 22 Mei – Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, menegaskan hasrat besar untuk mempercepat agenda industrialisasi negara dengan membina keupayaan dalam negeri bagi menghasilkan pelbagai teknologi termasuk kereta, motosikal, komputer, televisyen dan telefon pintar sendiri.
Dalam ucapan di Sidang Paripurna DPR RI baru-baru ini, Prabowo menegaskan Indonesia tidak boleh terus bergantung kepada produk luar dan hanya menjadi pasaran kepada negara lain semata-mata.
“Kita harus industrialisasi, kita harus bikin mobil sendiri, kita harus bikin motor sendiri, kita harus bikin televisi, komputer, handphone kita sendiri. Kita tidak boleh hanya jadi pasar,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa kerajaan kini sedang menggerakkan peranan Dana kekayaan negara (Danantara) untuk mempercepat pembangunan industri strategik, termasuk sektor automotif dan teknologi tinggi.
Menurut Prabowo, langkah ini penting bagi memastikan Indonesia menjadi negara yang berdikari dari segi teknologi serta tidak terlalu bergantung kepada import luar yang boleh menjejaskan ekonomi ketika berlaku krisis global.
Selain itu, beliau juga telah mengumpulkan pakar dan profesor dalam pelbagai bidang bagi merangka pelan pembangunan industri tempatan yang lebih agresif dan berdaya saing.
Langkah ini dilihat sebagai sebahagian daripada visi besar Prabowo untuk menjadikan Indonesia bukan sekadar pengguna teknologi, tetapi juga pengeluar utama di rantau Asia. – Kompas.com
