ISU SEMASA
Analisis PRU: Peralihan sokongan pengundi muda mencorakkan landskap politik baharu. Suara Rakyat: Isu kos sara hidup dan pemulihan ekonomi terus menjadi perbincangan utama. Parlimen: Kebebasan bersuara yang bertanggungjawab wadah pemantapan demokrasi negara. Komentar Jurnal: Kepentingan maklumat sahih dan berfakta dalam mendepani cabaran isu semasa.

Bubar DUN Hak Mutlak Sultan, Yakin Pada MB Johor

1–2 minutes

SEREMBAN, 22 Mei – UMNO-Barisan Nasional (BN) menyatakan keyakinan bahawa Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi akan menasihati Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada masa yang difikirkan sesuai.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pembubaran DUN merupakan hak mutlak baginda Sultan Johor, namun ia dilaksanakan berdasarkan nasihat Menteri Besar negeri berkenaan.

“Membubarkan DUN ini adalah hak mutlak Tuanku, atas nasihat Menteri Besar. Saya yakin beliau akan memberikan nasihat kepada Tuanku bila masa yang sesuai untuk diadakan atau pun dibubarkan DUN bagi membolehkan PRN diadakan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kejohanan Olahraga Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Sendayan di Seremban, pada Jumaat.

Mohamad tidak menolak kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor boleh diadakan dalam tempoh terdekat atau sebaliknya, bergantung kepada keadaan semasa dan pertimbangan pihak istana.

“Boleh jadi masa terdekat, boleh jadi lambat. Itu terpulang kepada budi bicara baginda,” katanya lagi.

Dalam masa sama, beliau menjelaskan isu PRN Johor belum dibincangkan di peringkat kepimpinan tertinggi UMNO di peringkat pusat.

Menurutnya, sebaik sahaja mendapat perkenan Sultan Johor, Menteri Besar dijangka akan memaklumkan kepada parti bagi membolehkan gerak kerja pilihan raya dirancang secara lebih tersusun.

“Apabila Menteri Besar telah mendapat lampu hijau atau restu, beliau akan berunding dengan kepimpinan pusat supaya kita boleh merancang bersama untuk menghadapi pilihan raya,” katanya.

Sementara itu, Mohamad turut mengulas perkembangan politik di Negeri Sembilan dengan menyatakan jalan terbaik bagi menyelesaikan kemelut politik adalah melalui pembubaran DUN dan pengembalian mandat kepada rakyat.

Beliau mendakwa keadaan itu berlaku apabila wujudnya ketidakyakinan terhadap kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dalam kalangan sebahagian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Katanya, situasi tersebut wajar diserahkan semula kepada rakyat untuk menentukan kestabilan politik negeri melalui pilihan raya. – Sinar Harian

Kongsi pada platform lain