MAKKAH, 23 Mei – Jumlah sumbangan bagi projek infak breakfast percuma Duyufurahman dilaporkan telah mencecah RM151,137.79 setakat ini, sekali gus mencetuskan rasa syukur dan terharu dalam kalangan penggerak program.
Menurut kenyataan Akmal Saleh menerusi facebook beliau, angka tersebut dianggap sangat besar dan di luar jangkaan, menggambarkan kekuatan semangat bersedekah serta keprihatinan orang ramai terhadap usaha kebajikan jemaah.
Sehubungan itu, kutipan sumbangan bagi projek berkenaan telah ditutup berkuat kuasa serta-merta bagi memastikan proses pengurusan dan pengeluaran dana dapat dilaksanakan dengan lebih teratur, telus dan berhemah.
Pihak pengurusan turut memberi jaminan bahawa setiap sumbangan yang diterima akan diuruskan sebagai amanah dan akan dilaporkan secara terperinci selepas musim haji, termasuk pecahan penggunaan setiap sen yang dibelanjakan.
Dalam masa yang sama, ucapan terima kasih disampaikan kepada semua penyumbang atas kepercayaan yang diberikan dalam menjayakan inisiatif tersebut.
Program Duyufurahman turut dijadualkan meneruskan aktiviti harian seperti biasa, dengan pertemuan bersama jemaah di Maktab Hotel Kiswah Tower pada pagi ini.
“Semoga rezeki yang dikongsi ini menjadi pahala berpanjangan untuk semua,” menurut kenyataan itu.
