SEREMBAN, 23 Mei – Enam pembesar adat utama Negeri Sembilan mengarahkan satu sidang khas Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan dipanggil bagi membincangkan kemelut pemerintahan serta pentadbiran adat yang didakwa semakin meruncing di negeri itu.
Menerusi surat bertarikh 21 Mei 2026 yang dihantar kepada Setiausaha DKU, Datuk Mohd Zafir Ibrahim, sidang khas itu dicadangkan berlangsung pada Jumaat, 29 Mei 2026 jam 9 pagi di Balai Rasmi Tunku Besar Tampin.
Antara pembesar adat yang menandatangani notis berkenaan ialah Dato’ Klana Petra Dato’ Haji Mubarak Dohak, Dato’ Mendika Menteri Akhirzaman Dato’ Maarof Mat Rashad, Dato’ Muhammed Abdullah, Haji Abdul Rahim Yasin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri serta Dato’ Seri Utama Haji Badarudin Abdul Khalid.
Dalam surat tersebut, mereka menegaskan permintaan itu dibuat atas kapasiti majoriti ahli DKU sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 17 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.





Mereka turut merujuk Perkara 16(1) dan 16(3) yang memberi kuasa kepada DKU membincangkan persoalan berkaitan adat Negeri Sembilan serta kewajipan menurut perlembagaan negeri.
Selain itu, Setiausaha DKU turut diminta menyediakan draf peringatan mesyuarat bagi sidang terdahulu yang berlangsung pada 4 Julai 2025, 5 Mac 2026 dan 17 April 2026 selaras dengan Perkara 22 undang-undang tubuh berkenaan.
Surat sama turut mencadangkan supaya Ketua Setiausaha Negara dan Peguam Negara hadir sebagai pemerhati bebas dalam sidang khas tersebut bersama jemputan rasmi lain.
Difahamkan, salinan surat itu turut dihantar kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-Undang Negeri, Mufti Negeri Sembilan dan Ketua Polis Negeri Sembilan. – SuaraTV
