Selepas hampir enam bulan bergelut dengan kecederaan, tonggak utama Arif Aiman Hanapi dijangka kembali mewarnai skuad Johor Darul Ta’zim menjelang aksi final Piala Malaysia malam ini.
Perkembangan itu disahkan sendiri ketua jurulatih Harimau Selatan, Xisco Munoz yang memaklumkan pemain sayap sensasi berkenaan bakal disenaraikan dalam skuad perlawanan, namun keputusan sama ada Arif akan diturunkan masih belum dimuktamadkan.
Menurut Xisco, keadaan fizikal pemain berusia 24 tahun itu menunjukkan perkembangan positif selepas menjalani tempoh pemulihan panjang akibat kecederaan yang dialaminya sebelum ini.
Kehadiran semula Arif pastinya menjadi suntikan moral besar buat JDT yang memburu satu lagi kejuaraan domestik musim ini, selain memberi keterujaan kepada penyokong yang sudah lama menantikan aksi pemain lincah berkenaan di atas padang.
