JEMPOL, 23 Mei – Ahli Parlimen Jempol, Shamshulkahar Mohd Deli memaklumkan lebih RM600 juta berjaya dibawa masuk ke kawasan Parlimen Jempol menerusi pelbagai inisiatif bantuan rakyat dan projek pembangunan sepanjang tempoh 2023 hingga 2025.

Menerusi infografik yang dikongsikan, antara inisiatif utama yang dilaksanakan termasuk bantuan kewangan Ahli Parlimen Jempol bernilai RM5.3 juta melibatkan sara hidup, perubatan, pendidikan serta bantuan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Selain itu, program Jempol Prihatin turut menyediakan bantuan khas seperti katil dan kerusi roda, mesin oksigen, pampers, susu serta kit makanan dengan nilai keseluruhan RM510,000.
Dalam masa sama, sebanyak 164 Projek Mesra Rakyat (PMR) bernilai RM7.5 juta turut dilaksanakan melibatkan sekolah, masjid dan surau, balai raya, tadika KEMAS serta kemudahan awam di seluruh kawasan Parlimen Jempol.
Antara projek mega yang disenaraikan termasuk projek pelebaran Jalan FT11 Serting-Keratong ke sempadan Pahang bernilai RM190 juta, pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Jempol bernilai RM150 juta serta projek Jalan Utama Palong berjumlah RM100 juta.
Turut tersenarai ialah projek jalan penghubung luar bandar Kampung Panchor ke Kampung Batu Peti bernilai RM35 juta, projek perumahan rakyat Serting Tengah serta pembangunan fasiliti awam lain di kawasan berkenaan.
Menurut beliau, keseluruhan inisiatif tersebut dilaksanakan bagi memperkukuh pembangunan infrastruktur dan meningkatkan kesejahteraan rakyat di bawah slogan “Jempol Makmur”.
