KANGAR, 23 Mei – Kemelut politik di Perlis kembali hangat apabila Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah memberi bayangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis mungkin dibubarkan sekiranya enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas membawa usul undi tidak percaya terhadap beliau pada sidang DUN awal Jun ini.
Menurut beliau, tindakan membubarkan DUN menjadi pilihan terakhir sekiranya kedudukannya sebagai Menteri Besar dicabar secara rasmi dalam sidang berkenaan.
Kenyataan itu hadir susulan dakwaan wujud ketegangan antara komponen dalam Perikatan Nasional (PN) Perlis, khususnya melibatkan hubungan Pas dan Bersatu selepas beberapa siri kenyataan pimpinan parti kebelakangan ini.
Sebelum ini, enam ADUN Pas dilaporkan mendesak penjelasan berhubung penangguhan sidang DUN Perlis yang asalnya dijadual berlangsung pada April lalu, sekali gus mencetuskan spekulasi kemungkinan berlaku gerakan menggulingkan Menteri Besar.
Bagaimanapun, beberapa pimpinan PN Perlis termasuk Shahidan Kassim sebelum ini menafikan wujud komplot menjatuhkan Menteri Besar dan menegaskan sokongan terhadap kerajaan negeri kekal sehingga PRU akan datang.
Sidang DUN Perlis dijadual berlangsung pada 3 hingga 5 Jun depan dan dijangka menjadi tumpuan berikutan ketidaktentuan politik yang masih belum reda dalam pentadbiran negeri itu.
