KUALA LUMPUR, 24 Mei — Raja Sara Petra mendakwa Parti Keadilan Rakyat kini sedang mengalami krisis dalaman serius susulan beberapa pemimpin utama reformasi dilihat meninggalkan parti dan berbalas serangan secara terbuka.
Menerusi satu hantaran di Facebook, Raja Sara Petra menyifatkan PKR bukan lagi sekadar menunjukkan “retakan”, sebaliknya sedang “imploding” atau runtuh dari dalam.
Beliau merujuk kepada pengunduran beberapa figura penting termasuk Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad yang menurutnya menambahkan lagi persepsi bahawa parti itu semakin hilang arah.
Dalam kenyataan sama, Raja Sara Petra turut mempersoalkan keberadaan dan peranan Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar ketika parti berdepan pergolakan dalaman.
Menurut beliau, Nurul Izzah sebelum ini dianggap sebagai wajah masa depan PKR selepas berjaya menewaskan Rafizi bagi jawatan Timbalan Presiden parti, namun kini dilihat kurang memainkan peranan dalam meredakan konflik dalaman yang berlaku.
“Rafizi kalah pemilihan, tetapi masih mengawal naratif politik. Nurul menang jawatan, tetapi tidak mengawal parti,” katanya menerusi hantaran tersebut.
Beliau turut mendakwa PKR kini kelihatan semakin letih dan tidak lagi menampilkan imej parti yang bersatu seperti sebelum ini.
Raja Sara Petra juga berpandangan situasi itu memberi isyarat luar biasa kerana kebanyakan parti politik lazimnya mula berdepan krisis besar selepas kehilangan kuasa, namun PKR sedang bergelut ketika masih menjadi antara parti utama dalam kerajaan Persekutuan.
