KUALA TERENGGANU — Tiga pekerja dilaporkan maut dalam satu tragedi melibatkan bot keselamatan (lifeboat) ketika latihan pemindahan kecemasan di sebuah pelantar minyak luar pesisir Terengganu-Pahang, tengah hari semalam.
Mangsa yang terkorban dikenal pasti sebagai Muhammad Faezuan Hakim Mohammad Bustaman, 28, Ahmad Fikri Zakaria, 38, dan Nik Muhammad Hafifi Asri Ab Majid, 37. Seorang lagi mangsa, Muhammad Taufik Mohd Ruslan, 36, dilaporkan cedera dan sedang menerima rawatan.
Menurut laporan awal, lifeboat tersebut dipercayai terhempas selepas tali penyokong putus ketika latihan dijalankan. Namun begitu, terdapat perbezaan maklumat berhubung ketinggian jatuhan apabila ada laporan menyebut sekitar empat meter, manakala sumber lain mendakwa ia mencecah antara 14 hingga 40 meter.
Pihak berkuasa dijangka menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian termasuk aspek keselamatan serta prosedur operasi semasa latihan kecemasan dijalankan.
Tragedi itu turut mengundang perhatian ramai susulan risiko tinggi yang dihadapi pekerja industri minyak dan gas, khususnya ketika latihan keselamatan di lokasi luar pesisir.
Al-Fatihah buat semua mangsa yang terkorban. Semoga keluarga diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi dugaan ini.
