KUALA LUMPUR, 25 Mei — Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menzahirkan junjungan kasih atas titah dan pandangan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berhubung pelaksanaan aktiviti ketenteraan di negeri Pahang.
Dalam satu siaran media malam tadi, ATM menegaskan komitmen untuk memastikan setiap latihan, eksesais dan operasi ketenteraan dilaksanakan secara terancang, profesional serta bertanggungjawab mengikut prosedur dan garis panduan ditetapkan.
Menurut ATM, setiap pelaksanaan latihan turut mengambil kira aspek penilaian impak alam sekitar dengan langkah mitigasi dan pemantauan berterusan bagi meminimumkan kesan terhadap ekosistem semula jadi.
ATM turut memaklumkan bahawa kerjasama strategik bersama kerajaan negeri, agensi penguat kuasa, pakar berkaitan dan komuniti setempat akan terus diperkukuh menerusi mekanisme penyelarasan dan libat urus yang lebih tersusun.
Dalam masa sama, ATM menegaskan latihan ketenteraan merupakan elemen penting bagi memastikan kesiapsiagaan, keupayaan operasi dan tahap kompetensi angkatan sentiasa berada pada tahap optimum demi mempertahankan kedaulatan negara.
ATM turut sekali lagi menjunjung setinggi-tinggi kasih dan akur terhadap titah Tengku Mahkota Pahang berhubung perkara tersebut.
