JOHOR BAHRU – Barisan Nasional (BN) Johor disifatkan bersikap tidak matang dan terlalu mementingkan diri apabila menyatakan hasrat untuk bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Naib Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse berkata, tindakan itu dilihat seolah-olah meminggirkan peranan Pakatan Harapan (PH) serta sumbangan besar Kerajaan Persekutuan terhadap pembangunan negeri Johor.
Menurut beliau, banyak kejayaan yang dicanang kerajaan negeri hari ini sebenarnya turut dipacu oleh dasar, sokongan dan peruntukan Kerajaan Persekutuan.
Katanya, projek berskala besar seperti pembangunan pusat data, Sistem Transit Rapid Johor Bahru-Singapura (RTS), Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), naik taraf Hospital Sultanah Aminah serta projek Transit Aliran Automasi (ART) bernilai berbilion ringgit bukanlah hasil usaha kerajaan negeri semata-mata.
“Semua projek ini melibatkan kerjasama kementerian, agensi Persekutuan serta rundingan antarabangsa. Jadi tidak wajar jika kejayaan tersebut digambarkan seolah-olah datang sepenuhnya daripada kerajaan negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahli Parlimen Tebrau itu turut menegaskan bahawa PH sebelum ini memilih untuk bekerjasama dengan BN dalam Kerajaan Perpaduan demi kestabilan politik negara serta mengekang politik ekstrem.
Beliau turut membandingkan pendekatan di Johor dengan Selangor, apabila PH memberi ruang kepada BN dalam pentadbiran negeri termasuk pelantikan Exco, ketua kampung dan ahli majlis.
Menurutnya, politik tidak seharusnya menjadi medan merebut kredit semata-mata, sebaliknya perlu berasaskan kejujuran, pengiktirafan terhadap kerjasama dan kepentingan rakyat.
“Rakyat Johor bijak menilai. Kemajuan negeri ini adalah hasil kerjasama antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan, bukannya kejayaan sebelah pihak sahaja,” katanya.
