PORT DICKSON, 26 Mei – Seorang penduduk berdepan detik mencemaskan apabila diserang seekor buaya dalam kejadian di kawasan sungai dalam DUN Linggi baru-baru ini di Kg.Tanjung Agas,Pasir Panjang
Mangsa dikatakan mengalami kecederaan pada bahagian buku lali selepas digigit reptilia tersebut ketika berada di kawasan berkenaan. Difahamkan, mangsa bergelut hampir sejam bagi menyelamatkan diri daripada terus dibaham buaya itu.
Menurut penduduk setempat, situasi menjadi semakin cemas apabila buaya terbabit cuba memusingkan badan mangsa, dipercayai untuk menariknya ke dalam air. Namun, mangsa berjaya bertindak pantas melepaskan kakinya daripada gigitan sebelum melarikan diri dari lokasi kejadian.

Mangsa kemudian menaiki motosikal menuju ke rumah anak saudaranya untuk mendapatkan bantuan sebelum dibawa menerima rawatan lanjut.
Susulan kejadian tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Linggi, Mohd Faizal Ramli turut turun padang meninjau lokasi bersama pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) serta polis.
Beliau berkata, keselamatan penduduk perlu diberi perhatian serius memandangkan kejadian melibatkan hidupan liar semakin membimbangkan. Penduduk sekitar turut berharap pemantauan dan tindakan segera dapat dilakukan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
