ISU SEMASA
Analisis PRU: Peralihan sokongan pengundi muda mencorakkan landskap politik baharu. Suara Rakyat: Isu kos sara hidup dan pemulihan ekonomi terus menjadi perbincangan utama. Parlimen: Kebebasan bersuara yang bertanggungjawab wadah pemantapan demokrasi negara. Komentar Jurnal: Kepentingan maklumat sahih dan berfakta dalam mendepani cabaran isu semasa.

Penerima Uzur, OKU Kini Boleh Sahkan BKJ Tanpa Hadir Fizikal

1–2 minutes

JOHOR BAHRU, 26 Mei – Kerajaan Negeri Johor mengakui terdapat beberapa kelemahan dalam proses penyampaian Bantuan Kasih Johor (BKJ) Warga Emas dan kini melaksanakan penambahbaikan segera bagi memastikan bantuan disalurkan dengan lebih tersusun, cepat serta mesra penerima.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin Nisa Ismail berkata, pihaknya mengambil serius segala teguran dan kebimbangan orang ramai berhubung isu penerima warga emas yang terpaksa menunggu lama atau beratur di beberapa lokasi agihan bantuan.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri tidak menafikan terdapat kekurangan dari segi pengurusan dan penyelarasan di sesetengah tempat, selain memohon maaf kepada penerima serta ahli keluarga yang terkesan dengan situasi tersebut.

Katanya, antara langkah penambahbaikan yang telah dilaksanakan ialah penyediaan butang khas “Saya adalah penerima uzur / OKU” dalam sistem BKJ Johor menerusi laman sesawang rasmi BKJ bagi memudahkan penerima tertentu membuat semakan dan pengesahan tanpa perlu hadir secara fizikal.

Kemudahan itu melibatkan penerima uzur, sakit terlantar, pengguna kerusi roda, OKU, individu yang baru selesai bersalin, baru kehilangan waris terdekat atau mempunyai masalah kesihatan tertentu.

Selain itu, beliau menjelaskan bahawa penerima warga emas dan OKU yang benar-benar tidak mampu hadir ke majlis penyerahan bantuan tidak diwajibkan hadir kerana proses penyerahan akan diuruskan melalui kaedah lebih sesuai termasuk penghantaran khas atau terus ke rumah penerima mengikut keadaan semasa.

Dalam masa sama, Kerajaan Negeri turut membenarkan wakil mengambil bantuan bagi pihak penerima dengan membawa dokumen berkaitan seperti surat wakil, salinan kad pengenalan penerima dan pengesahan daripada ketua kampung, penghulu atau pihak berkaitan jika diperlukan.

Beliau berkata, kelonggaran tersebut bertujuan memastikan golongan uzur dan mempunyai kekangan kesihatan tidak perlu bersusah payah hadir atau menunggu lama dalam keadaan tidak selesa.

Tambahnya, Kerajaan Negeri Johor komited untuk terus memperkukuhkan pelaksanaan BKJ dari semasa ke semasa demi memastikan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara dan bantuan dapat disampaikan secara lebih cekap, teratur serta menyeluruh kepada golongan memerlukan.

Kongsi pada platform lain