SEREMBAN, 29 Mei – Enam pembesar adat Negeri Sembilan hari ini sepakat mengambil keputusan menggantung tugas Setiausaha Dewan Keadilan dan Undang (DKU), Raja Norazli Raja Nordin, susulan dakwaan gagal mematuhi titah serta keputusan majoriti ahli DKU berkaitan sidang khas yang akan berlangsung pada 5 Jun depan.
Keputusan itu diumumkan menerusi satu kenyataan bersama oleh Undang Luak Sungei Ujong, Dato’ Klana Petra Dato’ Haji Mubarak Dohak; Undang Luak Jelebu, Dato’ Mendika Menteri Akhirulzaman Dato’ Maarof Mat Rashad; Undang Luak Johol, Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan Dato’ Muhammed Abdullah; Undang Luak Rembau, Dato’ Sedia Raja Dato’ Haji Abdul Rahim Yassin; Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Syed Idrus Al-Qadri serta Dato’ Shahbandar Sungei Ujong, Dato’ Seri Utama Haji Badarudin Abdul Khalid.
Menurut kenyataan itu, Sidang Mesyuarat Khas DKU akan diadakan pada Jumaat, 5 Jun 2026 jam 9 pagi di Balai Rasmi YTM Tunku Besar Tampin bagi membincangkan isu pentadbiran serta pemerintahan adat yang didakwa semakin meruncing di Negeri Sembilan.
Pembesar adat terbabit turut menegaskan bahawa DKU bukan milik mana-mana individu dan segala keputusan perlu dibuat secara muafakat ahli-ahlinya sebagaimana diperuntukkan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Mereka juga mendakwa segala surat yang dikeluarkan atas nama DKU selepas 17 April 2026 dengan tandatangan Raja Norazli adalah tidak sah kerana didakwa tidak mendapat mandat majoriti ahli dewan.
Dalam perkembangan sama, satu jawatankuasa khas turut ditubuhkan bagi menguruskan fungsi pentadbiran DKU dan perjalanan sidang khas tersebut mengikut Perkara 21 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Selain itu, Ketua Setiausaha Negara, Peguam Negara dan Ketua Polis Negara akan dijemput sebagai pemerhati bebas dalam sidang khas berkenaan bagi memastikan perjalanan mesyuarat berlangsung secara telus dan teratur.
Undang Luak Jelebu, Dato’ Mendika Menteri Akhirulzaman Dato’ Maarof Mat Rashad berkata, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir dan Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin ibni Tuanku Muhriz turut akan dijemput menghadiri sidang khas tersebut selaras dengan kedudukan mereka sebagai anggota DKU.
