MUAR, 31 Mei – Peluang pekerjaan, akses pendidikan berkualiti, pembangunan yang lebih menyeluruh serta kebajikan golongan orang kelainan upaya (OKU) antara isu utama yang dibangkitkan Orang Muda Johor (OMJ) dalam sesi perjumpaan santai bersama Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi di TMIYC Muar malam tadi.
Program yang menghimpunkan anak muda dari daerah Muar itu menjadi platform bagi mereka menyuarakan pandangan, cadangan dan harapan terhadap pembangunan negeri secara terbuka serta santai.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri Johor mempunyai visi dan perancangan besar untuk memastikan setiap agenda yang dirangka memberi manfaat kepada generasi muda sebagai pewaris masa depan negeri.
Pelbagai idea dan input yang dikongsikan sepanjang sesi tersebut akan dijadikan antara rujukan dalam usaha memperkukuhkan dasar serta inisiatif pembangunan belia di Johor.
Kerajaan negeri turut menegaskan komitmen untuk terus mendengar dan meraikan suara anak muda agar aspirasi mereka dapat diterjemahkan kepada tindakan yang membawa kesejahteraan serta peluang yang lebih baik pada masa hadapan.
