JOHOR BAHRU, 31 Mei – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim, hari ini mengumumkan keputusan untuk tidak lagi bertanding dalam pilihan raya serta berundur daripada arena politik selepas empat tahun berkhidmat di kawasan tersebut.
Dalam satu kenyataan, Marina berkata keputusan itu dibuat selepas perbincangan bersama individu-individu yang sentiasa menyokong beliau sepanjang perjalanan politiknya.
Menurut beliau, selepas meninggalkan dunia politik, fokusnya akan kembali kepada kerja-kerja kemasyarakatan yang telah lama menjadi sebahagian daripada kehidupannya sebelum menceburi bidang politik.
“Empat tahun lalu saya datang ke Skudai dengan satu harapan yang sederhana tetapi besar maknanya iaitu untuk berkhidmat. Saya hadir bukan dengan kekuatan yang besar, tetapi dengan niat yang ikhlas untuk melaksanakan amanah sebaik mungkin,” katanya.
Marina berkata sepanjang tempoh perkhidmatannya sebagai wakil rakyat, beliau telah berusaha memberikan yang terbaik kepada masyarakat dan memohon maaf atas segala kekurangan serta kelemahan yang mungkin berlaku sepanjang menggalas tanggungjawab tersebut.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pengundi, penyokong serta pasukannya yang sentiasa bersama-sama dalam menghadapi pelbagai cabaran sepanjang tempoh perkhidmatannya.
“Terima kasih kepada setiap individu yang memberikan sokongan pada 22 Mac 2022 dan kepada seluruh pasukan yang tidak pernah jemu berdiri bersama saya dalam saat mudah mahupun sukar,” katanya.
Walaupun meninggalkan pentas politik, Marina menegaskan beliau akan terus menyumbang kepada masyarakat dalam apa jua kapasiti yang mampu dilaksanakan.
Beliau turut memaklumkan akan terus komited menjalankan tugas di lapangan sehingga wakil rakyat baharu dilantik.
“Saya mendoakan agar Skudai terus maju dan masyarakatnya terus sejahtera. Berakhirnya satu babak bukan bermakna berakhirnya khidmat,” katanya.
Marina mengakhiri kenyataannya dengan mengucapkan terima kasih atas kepercayaan yang diberikan sepanjang beliau berkhidmat sebagai ADUN Skudai serta memohon maaf atas segala kekurangan sepanjang tempoh tersebut.
