KUALA LUMPUR, 2 Jun – Kisah seorang pesakit Chronic Kidney Disease (CKD) Tahap 5, Azroy Azri atau lebih dikenali sebagai Roy, yang berkongsi perjalanan hidupnya berdepan penyakit buah pinggang kronik mendapat perhatian ramai, termasuk sahabat lamanya, Syed Mohd Syed Nasir.
Menurut Syed, Roy bukanlah individu yang asing dalam hidupnya. Mereka pernah melalui pelbagai pengalaman bersama sejak zaman aktif dalam politik mahasiswa, berkongsi susah senang, idea dan semangat perjuangan ketika mengejar cita-cita.
“Ada sahabat yang hadir ketika kita senang, dan ada sahabat yang pernah duduk bersama ketika susah. Roy adalah antara insan yang pernah melalui semua itu bersama saya,” katanya.
Perkongsian Roy mengenai perjalanan penyakit yang dihidapinya nyata menyentuh hati ramai apabila beliau mendedahkan bahawa dirinya kini berdepan CKD Tahap 5 dan perlu menjalani rawatan dialisis secara berkala.
Dalam tulisannya, Roy mengakui beliau tidak pernah menyangka akan berdepan penyakit serius pada usia 32 tahun.
Katanya, beliau sebelum ini menjalani gaya hidup aktif, gemar melakukan aktiviti lasak seperti mengembara, mendaki bukit dan berenang sehingga merasakan dirinya sentiasa berada dalam keadaan sihat.
“Kalau tengok gaya hidup aku dulu, memang orang takkan expect aku kena CKD Stage 5. Aku jenis lasak, suka travel, hiking dan swimming.
“Dan satu perangai aku yang paling teruk, aku memang jenis tak pergi hospital. Demam, tidur saja. Pening, minum kopi. Penat, anggap perkara biasa,” katanya.
Menurut Roy, tubuhnya sebenarnya telah lama memberikan petanda awal namun semuanya diabaikan kerana menyangka ia hanyalah masalah kesihatan biasa.
Beliau sering mengalami keletihan, sakit kepala, pening dan mendapati air kencing berbuih, namun tidak pernah mendapatkan pemeriksaan lanjut.
Keadaan menjadi semakin serius apabila beliau mula mengalami muntah hampir setiap hari dan hilang selera makan.
Bagaimanapun, Roy mengakui isterinya menjadi individu yang paling banyak memainkan peranan dalam menyelamatkan nyawanya apabila tidak pernah berhenti mendesak beliau mendapatkan rawatan.
Hari beliau dibawa ke hospital menjadi titik perubahan besar dalam hidupnya.
“Mula-mula aku ingat doktor akan bagi ubat biasa saja. Tapi bila doktor tengok keputusan darah, muka doktor terus berubah.
“Doktor cakap bacaan toksik dalam badan aku terlalu tinggi sehingga aku sebenarnya dah patut masuk ICU,” katanya.
Lebih mengejutkan, bacaan toksik dalam badannya ketika itu dilaporkan hampir mencecah 2,000 sebelum doktor mengesahkan beliau menghidap CKD Tahap 5.
“Masa dengar tu aku terus blank. Terkejut, tak percaya dan hampir tak boleh terima kenyataan.
“Dalam kepala aku cuma ada satu soalan, macam mana aku boleh sakit seteruk ini,” katanya.
Roy berkata, cabaran sebenar bukan hanya rawatan atau sesi dialisis yang perlu dijalani secara berkala, tetapi menerima hakikat bahawa keadaan fizikalnya tidak lagi seperti dahulu.
Beliau kini sering berasa lemah, mudah pitam dan tidak mempunyai tenaga seperti sebelum ini.
“Kadang-kadang aku rindu diri aku yang lama. Rindu hiking, rindu swimming dan rindu hidup tanpa perlu fikir pasal kesihatan sendiri setiap hari,” katanya.
Malah, Syed turut berkongsi bahawa Roy baru-baru ini pernah pitam selepas menjalani rawatan dialisis sehingga tidak mampu memandu pulang sendiri dan terpaksa menghubungi isterinya untuk datang mengambilnya.
Menurut beliau, insiden itu benar-benar menyentuh perasaannya kerana mengenali Roy sebagai seorang yang aktif, kuat dan sentiasa membantu orang lain.
Roy bagaimanapun berkata beliau tidak pernah berputus asa walaupun berdepan pelbagai cabaran.
Sebaliknya, beliau memilih untuk menerima hakikat dan meneruskan kehidupan dengan semangat baharu sambil berkongsi pengajaran yang diperoleh daripada pengalaman tersebut.
“Kita selalu rasa kita masih okay, benda kecil dan akan baik sendiri.
“Padahal badan dah lama minta tolong.
“Kalau ada satu benda yang aku harap orang ambil serius daripada cerita aku, jangan tunggu sampai badan hancur baru nak pergi buat pemeriksaan,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mengabaikan simptom seperti mudah letih, pening kepala, tekanan darah tinggi dan air kencing berbuih kerana ia mungkin petanda awal masalah buah pinggang.
“Kalau bukan sebab isteri aku paksa pergi hospital hari itu, mungkin cerita aku dah tak sempat ditulis hari ini,” katanya.
Kisah Roy menjadi peringatan bahawa penyakit kronik boleh menyerang sesiapa sahaja tanpa mengira usia, malah individu yang kelihatan sihat dan aktif juga tidak terkecuali. Ia juga menjadi bukti bahawa pemeriksaan kesihatan berkala mampu menjadi langkah yang menyelamatkan nyawa.
