ISU SEMASA
• Analisis PRU: Peralihan sokongan pengundi muda mencorakkan landskap politik baharu. • Suara Rakyat: Isu kos sara hidup dan pemulihan ekonomi terus menjadi perbincangan utama. • Parlimen: Kebebasan bersuara yang bertanggungjawab wadah pemantapan demokrasi negara. • Komentar Jurnal: Kepentingan maklumat sahih dan berfakta dalam mendepani cabaran isu semasa.

3 Tahun Abd Rauf Memimpin : KDNK Melaka Cecah RM50.3 Bilion, Pelaburan RM14.68 Bilion Kukuhkan Momentum Ekonomi

1–2 minutes

MELAKA, 29 September – Ekonomi Melaka terus menunjukkan pertumbuhan positif apabila nilai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri meningkat kepada RM50.3 bilion pada 2025 berbanding RM48.8 bilion pada 2024.

Menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), ekonomi Melaka berkembang sebanyak tiga peratus pada 2025, selepas mencatat pertumbuhan 4.2 peratus pada 2024 dan 2.8 peratus pada 2023.

Felo Kanan Institut Kajian Data Raya dan Kecerdasan Buatan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Madya Dr Abdul Rahim Rizwan berkata, trend tersebut menunjukkan ekonomi negeri terus berkembang secara konsisten dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.

Beliau berkata, sektor perkhidmatan kekal sebagai penyumbang terbesar kepada ekonomi Melaka dengan nilai RM26.4 bilion atau 52.4 peratus daripada keseluruhan KDNK negeri pada 2025, selain berkembang 4.8 peratus.  

“Data ini memperlihatkan bahawa aktiviti ekonomi Melaka bukan sahaja berkembang dari segi nilai keseluruhan, malah sektor perkhidmatan yang menjadi penyumbang utama turut mencatat pertumbuhan.

“Pada masa sama, sektor pembuatan kekal sebagai komponen penting ekonomi negeri dengan nilai RM17.8 bilion,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Melaka turut merekodkan RM14.68 bilion pelaburan diluluskan pada 2025 membabitkan 312 projek, angka yang menurut Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh merupakan pencapaian pelaburan tertinggi negeri itu dalam tempoh 22 tahun.  

Abdul Rahim berkata, tumpuan selepas kelulusan pelaburan adalah memastikan projek berkenaan direalisasikan bagi menghasilkan peluang pekerjaan dan limpahan ekonomi kepada syarikat serta pembekal tempatan.

“Pelaburan yang diluluskan perlu diterjemahkan kepada aktiviti ekonomi sebenar, termasuk pembukaan kilang, peluang pekerjaan berkualiti dan penglibatan perusahaan tempatan dalam rantaian bekalan.

“Ini penting supaya pertumbuhan ekonomi dapat dirasai secara lebih langsung oleh masyarakat,” katanya.

Beliau turut menyentuh peranan sektor pelancongan sebagai antara komponen penting ekonomi negeri, khususnya melalui peningkatan perbelanjaan pelancong domestik.

DOSM merekodkan penerimaan pelancongan domestik Melaka sebanyak RM7.93 bilion pada 2024, meningkat 23.2 peratus berbanding RM6.44 bilion pada 2023.  

Menurut Abdul Rahim, perkembangan sektor perkhidmatan, pelancongan dan pelaburan perlu bergerak seiring supaya pertumbuhan ekonomi negeri dapat diterjemahkan kepada peningkatan aktiviti perniagaan serta pendapatan masyarakat.

“Cabaran seterusnya bukan lagi sekadar menarik pelaburan, tetapi memastikan manfaatnya mengalir kepada rakyat dan perniagaan tempatan secara berterusan,” katanya.

Kongsi pada platform lain