ISU SEMASA
Analisis PRU: Peralihan sokongan pengundi muda mencorakkan landskap politik baharu. Suara Rakyat: Isu kos sara hidup dan pemulihan ekonomi terus menjadi perbincangan utama. Parlimen: Kebebasan bersuara yang bertanggungjawab wadah pemantapan demokrasi negara. Komentar Jurnal: Kepentingan maklumat sahih dan berfakta dalam mendepani cabaran isu semasa.

8 BAHAGIAN PEMUDA UMNO NS NYATA PENDIRIAN TEGAS

2–3 minutes

Semua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian di Negeri Sembilan dengan ini menyatakan pendirian bersama berhubung beberapa isu utama melibatkan kepentingan parti, rakyat dan kestabilan politik negeri.

1. MENOLAK PENGIKTIRAFAN UEC

Semua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian dalam Negeri Sembilan dengan tegas menolak sebarang usaha atau cadangan untuk mengiktiraf Unified Examination Certificate (UEC) dalam sistem pendidikan negara.

Kami berpendirian bahawa sistem pendidikan kebangsaan perlu terus diperkukuhkan sebagai asas perpaduan rakyat berbilang kaum serta identiti nasional negara.

2. MENOLAK KERJASAMA PILIHAN RAYA BERSAMA PAKATAN HARAPAN DAN MENYERU UMNO BERGERAK SECARA SOLO ATAU MEMPERTIMBANGKAN KERJASAMA DENGAN PARTI LAIN DI LUAR PAKATAN HARAPAN

Semua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian dalam Negeri Sembilan menolak sebarang bentuk kerjasama politik bersama Pakatan Harapan, sama ada sebelum mahupun selepas pilihan raya.

Barisan Nasional perlu bergerak secara solo atau mempertimbangkan kerjasama politik dengan mana-mana parti yang mempunyai matlamat selari dengan perjuangan UMNO demi penyatuan ummah, kestabilan politik dan masa depan negara yang lebih kukuh.

3. MENYATAKAN SOKONGAN KEPADA 14 ADUN UMNO NEGERI SEMBILAN

Kami menyatakan sokongan penuh terhadap tindakan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO/Barisan Nasional Negeri Sembilan yang telah menarik sokongan terhadap kepimpinan Menteri Besar Negeri Sembilan.

Kami menghormati pendirian tersebut sebagai satu tindakan berprinsip demi menjaga kepentingan rakyat serta kestabilan pentadbiran negeri.

4. MENYOKONG PENUH SARANAN YB DATO’ SERI UTAMA HAJI MOHAMAD BIN HAJI HASAN

Semua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian dalam Negeri Sembilan turut menyokong penuh saranan YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan berhubung keperluan memperkukuhkan parti serta mengembalikan keyakinan rakyat terhadap UMNO dan Barisan Nasional.

Pada prinsipnya, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dilihat telah hilang kepercayaan selepas 14 ADUN UMNO/Barisan Nasional menarik sokongan terhadap beliau.

Sehubungan itu, pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dilihat sebagai langkah terbaik bagi menyelesaikan kemelut politik yang sedang berlaku di negeri ini serta memberi mandat baharu kepada rakyat untuk menentukan hala tuju pentadbiran negeri.

5. MENGGESA KELANCARAN MESYUARAT DEWAN KEADILAN DAN UNDANG

Kami menggesa Kerajaan Negeri Sembilan agar segera melaksanakan segala persiapan bagi Mesyuarat Dewan Keadilan dan Undang yang dijadualkan pada 29 Mei 2026, sebagaimana sabdaan Undang Yang Empat, Tengku Besar Tampin, dan Dato’ Shahbandar.

Segala urusan berkaitan hendaklah diuruskan dengan penuh tertib, teratur dan hormat, selaras dengan adat serta kedaulatan institusi pemerintahan Negeri Sembilan.

Kongsi pada platform lain