Pemuda UMNO Negeri Sembilan menolak dakwaan bahawa Pengerusi UMNO negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias menjadi punca pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas dituduh mengkhianati Kerajaan Perpaduan.
Ketua Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Mohamad Fadil Md Zin berkata, Jalaluddin sebenarnya banyak mempertahankan Kerajaan Perpaduan termasuk meredakan ketegangan dalam UMNO apabila berlaku isu antara parti gabungan.
Menurutnya, jika Jalaluddin benar-benar mahu mengejar jawatan Menteri Besar atau melakukan pengkhianatan, perkara itu sudah boleh berlaku sejak awal penubuhan Kerajaan Perpaduan pada 2023.
Beliau turut mendakwa PH sebelum ini gagal menunaikan beberapa janji termasuk isu lantikan Timbalan Speaker DUN yang hanya diberikan kepada UMNO pada Ogos 2025 selepas beberapa kali bantahan daripada Pemuda UMNO.
Mohamad Fadil berkata, Pemuda UMNO pernah mencadangkan supaya parti keluar daripada Kerajaan Perpaduan susulan beberapa isu termasuk kontroversi melibatkan kenyataan pemimpin DAP berkaitan hukuman terhadap Datuk Seri Najib Razak.
Bagaimanapun katanya, Jalaluddin tetap mempertahankan kerjasama kerajaan dan Menteri Besar ketika itu.
Jelas beliau, keputusan UMNO menarik sokongan bukan bermotifkan politik, sebaliknya berpunca daripada kegagalan pengurusan isu adat yang berlarutan sehingga menjadi perdebatan awam.
Pemuda UMNO Negeri Sembilan akan menggunakan pentas PRN akan datang untuk menjelaskan keadaan sebenar kepada rakyat yang menurutnya banyak menerima maklumat melalui media sosial. – BeritaHarian
