SEREMBAN, 8 Oktober 2026 — Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Ismail Lasim menegaskan beliau akan terus menjalankan amanah dan tanggungjawab sebagai Menteri Besar bagi memastikan pentadbiran kerajaan negeri berjalan seperti biasa.
Beliau berkata, segala tanggungjawab yang diberikan kepadanya akan terus dilaksanakan demi memastikan urusan pentadbiran serta kepentingan rakyat Negeri Sembilan tidak terjejas.
“Selagi amanah dan tanggungjawab itu diberikan kepada saya, saya akan terus laksanakan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Watikah Pengerusi dan Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Negeri Sembilan hari ini.
Menurut Ismail, pelantikan Ketua Kampung dan Setiausaha JPKK di seluruh negeri membuktikan jentera pentadbiran kerajaan negeri terus bergerak dan berfungsi seperti biasa.
Beliau turut menegaskan komitmen untuk memastikan pentadbiran di peringkat negeri dan akar umbi terus berjalan lancar, termasuk penyampaian perkhidmatan kepada rakyat tanpa sebarang gangguan.
