ISU SEMASA
• Analisis PRU: Peralihan sokongan pengundi muda mencorakkan landskap politik baharu. • Suara Rakyat: Isu kos sara hidup dan pemulihan ekonomi terus menjadi perbincangan utama. • Parlimen: Kebebasan bersuara yang bertanggungjawab wadah pemantapan demokrasi negara. • Komentar Jurnal: Kepentingan maklumat sahih dan berfakta dalam mendepani cabaran isu semasa.

Ab Rauf seru PRN Melaka tanpa politik kebencian, fitnah dan hasutan

1–2 minutes

MELAKA, 7 Oktober – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menyeru semua parti politik dan jentera pilihan raya supaya mengelakkan kempen berunsur kebencian, hasutan serta fitnah sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka itu berkata, rakyat perlu diberi ruang membuat pilihan berdasarkan kemampuan, tawaran serta rekod setiap parti tanpa dipengaruhi kempen yang boleh mencetuskan perpecahan.

Menurutnya, BN juga akan menasihatkan seluruh jenteranya supaya mengutamakan pendekatan matang dan tidak menggunakan politik kebencian bagi melemahkan pihak lawan.

“BN tidak akan menjalankan dan menasihatkan semua jentera supaya sebaik mungkin menghindarkan politik jahat, hasutan atau kebencian. Ini bukan cara kita dalam menyemai kasih sayang kepada rakyat,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata, PRN Melaka perlu berlangsung dalam suasana aman dan harmoni, selain mengingatkan pihak luar supaya tidak mengganggu keharmonian masyarakat negeri itu sepanjang tempoh berkempen.

Ab Rauf turut berharap rakyat Melaka menggunakan proses demokrasi kali ini untuk menentukan kerajaan yang mampu membawa negeri itu terus maju, selain menjaga kepentingan generasi akan datang.

SPR menetapkan 31 Oktober sebagai hari penamaan calon, manakala pengundian PRN Melaka berlangsung pada 14 November dengan tempoh berkempen selama 14 hari.

Kongsi pada platform lain