KUALA LUMPUR, 30 Jun — Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan hari ini menerima Surat Cara Perlantikan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah yang diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Majlis penyampaian surat perlantikan tersebut berlangsung di Bangunan Parlimen dan disampaikan oleh YAB Perdana Menteri.
Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dato’ Sri Abd Halim bin Aman serta ahli-ahli jawatankuasa lantikan yang lain.
Dalam kenyataan yang dikongsikan, Datuk Adnan menzahirkan penghargaan dan menjunjung kasih kepada Seri Paduka Baginda atas perkenan pelantikan tersebut.
Beliau berkata amanah yang diberikan akan dipikul dengan penuh tanggungjawab serta komitmen dalam memastikan peranan jawatankuasa berkenaan dapat dilaksanakan sebaik mungkin.
Pelantikan ini mencerminkan kepercayaan terhadap pengalaman serta sumbangan beliau dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.
Datuk Adnan turut memohon agar segala urusan dipermudahkan dan diberikan bimbingan dalam menjalankan amanah tersebut.
“Menjunjung kasih Tuanku. Moga Allah membimbing, kerana Dialah sebenar-benar Pembimbing,” katanya.
Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah merupakan antara mekanisme penting dalam memantau dan memperkukuhkan usaha pencegahan rasuah serta tadbir urus yang baik di negara ini.
