ISU SEMASA
Analisis PRU: Peralihan sokongan pengundi muda mencorakkan landskap politik baharu. Suara Rakyat: Isu kos sara hidup dan pemulihan ekonomi terus menjadi perbincangan utama. Parlimen: Kebebasan bersuara yang bertanggungjawab wadah pemantapan demokrasi negara. Komentar Jurnal: Kepentingan maklumat sahih dan berfakta dalam mendepani cabaran isu semasa.

Ahmad Solehin: Perlembagaan Tidak Benarkan Sikap Biadab Terhadap Raja-Raja Melayu

1–2 minutes

JOHOR BAHRU, 20 Mei – Pengamal undang-undang, Ahmad Solehin menegaskan bahawa menghormati Perlembagaan Persekutuan tidak bermaksud mana-mana pihak mempunyai hak untuk bersikap biadab atau tidak menghormati institusi Raja-Raja Melayu.

Menurut beliau, Malaysia sememangnya mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan dan Keluhuran Undang-Undang, namun Perlembagaan sendiri turut mengiktiraf kedudukan Yang di-Pertuan Agong serta Raja-Raja Melayu sebagai antara tunjang penting negara.

Katanya, institusi diraja mempunyai peranan besar dalam menjaga agama Islam, adat Melayu serta kesinambungan sistem kenegaraan Malaysia mengikut lunas Perlembagaan Persekutuan.

“Malaysia mengamalkan Constitutional Monarchy dan Rule of Law. Tetapi Perlembagaan sendiri mengiktiraf Raja-Raja Melayu sebagai pelindung Islam, adat Melayu dan antara institusi penting negara,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau turut mengingatkan bahawa prinsip “Kesetiaan Kepada Raja dan Negara” diletakkan lebih awal dalam Rukun Negara berbanding “Keluhuran Perlembagaan”, yang menurutnya mempunyai makna tersendiri dalam pembentukan identiti negara.

Ahmad Solehin berkata, perbezaan pandangan dalam demokrasi adalah perkara biasa, namun ia tidak seharusnya melangkaui batas sehingga mencetuskan penghinaan terhadap institusi negara.

“Berbeza pendapat itu normal dalam demokrasi. Tetapi rasa hormat terhadap institusi negara mesti dipelihara,” katanya lagi.

Perbahasan mengenai kedudukan dan peranan institusi diraja kembali hangat diperkatakan susulan beberapa kenyataan berkaitan kuasa Raja-Raja Melayu yang tular di media sosial sejak kebelakangan ini.

Kongsi pada platform lain