SEREMBAN, 6 Jun – Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan mengesahkan akan bertanding di kesemua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, persiapan parti kini berada pada fasa akhir termasuk proses pemilihan calon yang akan mewakili BN di setiap kawasan.
Menurut beliau, senarai calon yang dicadangkan oleh bahagian-bahagian UMNO hampir selesai disaring sebelum dikemukakan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk pertimbangan dan kelulusan akhir.
Katanya, majoriti penyandang dijangka terus diberikan kepercayaan dengan kira-kira 95 peratus calon sedia ada bakal dikekalkan, namun beberapa kerusi akan menyaksikan kemunculan muka baharu bagi memperkukuhkan jentera dan daya saing parti.
“Jentera pilihan raya di semua peringkat telah bersedia menghadapi PRN. Proses pemilihan calon juga sedang diperhalusi bagi memastikan individu yang dipilih benar-benar mampu membawa kemenangan kepada BN,” katanya.
DUN Negeri Sembilan dibubarkan pada Jumaat lalu bagi memberi laluan kepada PRN ke-16.
Pada pilihan raya negeri sebelum ini, BN memenangi 14 kerusi DUN, manakala Pakatan Harapan (PH) memperoleh 17 kerusi dan Perikatan Nasional (PN) memenangi lima kerusi.
Perkembangan terbaharu itu dilihat memberi isyarat bahawa BN Negeri Sembilan kini berada dalam mod siap siaga penuh untuk menghadapi saingan tiga penjuru yang dijangka sengit pada PRN kali ini
