PUTRAJAYA, 5 Jun – Barisan Nasional (BN) tidak menolak kemungkinan untuk mengadakan rundingan dengan Pakatan Harapan (PH) bagi memastikan Kerajaan Perpaduan terus dikekalkan di Negeri Sembilan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.
Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun PH Negeri Sembilan telah mengumumkan hasrat untuk bertanding di kesemua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), BN masih terbuka untuk berbincang demi kestabilan politik negeri itu.
Menurut beliau, adalah terlalu awal untuk membuat sebarang keputusan muktamad berhubung kerjasama politik menjelang PRN, namun BN sentiasa bersedia untuk mengadakan rundingan bagi memastikan Kerajaan Perpaduan dapat diteruskan.
“Kita sangat terbuka bukan sahaja untuk terus mengekalkan Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan, namun terlalu awal untuk kita tidak mengadakan rundingan bagi menentukan kerajaan itu dapat dikekalkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi walkabout sempena Karnival Hari TVET Negara 2026 di Dataran Putrajaya, hari ini.
Semalam, Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun memaklumkan bahawa PH akan bertanding di semua 36 kerusi DUN pada PRN akan datang selepas pembahagian kerusi antara PKR, DAP dan Amanah selesai dimuktamadkan.
Terdahulu, Aminuddin turut mengumumkan pembubaran DUN Negeri Sembilan berkuat kuasa hari ini bagi memberi laluan kepada PRN yang perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.
Kenyataan Ahmad Zahid itu dilihat membuka ruang kepada kemungkinan rundingan antara BN dan PH walaupun kedua-dua gabungan parti dijangka berdepan persaingan sengit menjelang pilihan raya negeri tersebut.
