ISU SEMASA
• Analisis PRU: Peralihan sokongan pengundi muda mencorakkan landskap politik baharu. • Suara Rakyat: Isu kos sara hidup dan pemulihan ekonomi terus menjadi perbincangan utama. • Parlimen: Kebebasan bersuara yang bertanggungjawab wadah pemantapan demokrasi negara. • Komentar Jurnal: Kepentingan maklumat sahih dan berfakta dalam mendepani cabaran isu semasa.

CHEGUBARD DIPENJARA EMPAT BULAN, MAHKAMAH BENAR TANGGUH PELAKSANAAN HUKUMAN

1–2 minutes

28 Oktober, KUALA LUMPUR – Aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard, dijatuhi hukuman penjara empat bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini selepas didapati bersalah atas pertuduhan fitnah jenayah membabitkan kenyataan yang didakwa mencemarkan nama baik Yang di-Pertuan Agong.

Hakim Norma Ismail menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Peguam Chegubard, Rafique Rashid Ali, memaklumkan hukuman tersebut diputuskan selepas mahkamah mendengar hujahan mitigasi daripada pihak pembelaan dan pendakwaan.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan dikemukakan di Mahkamah Tinggi. Jumlah jaminan terhadap Chegubard turut dinaikkan kepada RM5,000.

Chegubard, 47, didakwa pada 29 April 2024 berhubung satu kesalahan yang didakwa berlaku pada 22 Januari tahun sama. Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mengulas keputusan itu, Chegubard mendakwa pertuduhan terhadapnya sebelum ini telah diketepikan oleh mahkamah sebelum pihak pendakwaan mengemukakan rayuan sehingga membawa kepada keputusan terbaharu berkenaan.

Beliau turut mendakwa kes tersebut berpunca daripada sebuah video himpunan di hadapan Istana Negara pada 2024 yang menurutnya telah disunting dan disebarkan menggunakan akaun media sosial palsu.

Perkembangan seterusnya bergantung kepada proses rayuan yang bakal dikemukakan di Mahkamah Tinggi.

Kongsi pada platform lain