ISU SEMASA
Analisis PRU: Peralihan sokongan pengundi muda mencorakkan landskap politik baharu. Suara Rakyat: Isu kos sara hidup dan pemulihan ekonomi terus menjadi perbincangan utama. Parlimen: Kebebasan bersuara yang bertanggungjawab wadah pemantapan demokrasi negara. Komentar Jurnal: Kepentingan maklumat sahih dan berfakta dalam mendepani cabaran isu semasa.

DAP Nafi Mereka Punca DUN Negeri Sembilan Bubar

1–2 minutes

KUALA LUMPUR, 7 Jun – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menolak dakwaan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli bahawa pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dilakukan akibat tekanan daripada DAP.

Menurut beliau, tuduhan tersebut bukan sahaja tidak berasas malah bercanggah dengan proses sebenar yang berlaku dalam kepimpinan Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan.

Anthony berkata, keputusan untuk membubarkan DUN dibuat secara bersama dan dipersetujui oleh pimpinan PH negeri, termasuk Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

“Saya sangat terkejut dan kecewa apabila kenyataan seperti itu datang daripada Rafizi. Apa yang dimaksudkan dengan tekanan? Adakah beliau mahu mengatakan Menteri Besar tidak mahu membubarkan DUN tetapi saya memaksanya?

“Dakwaan bahawa DAP memberi tekanan itu adalah tidak masuk akal,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Dokumentari 60 Tahun Perjalanan DAP di Wilayah Persekutuan pada Ahad.

Beliau mengulas dakwaan Rafizi yang menyatakan pembubaran DUN Negeri Sembilan berlaku selepas menerima tekanan daripada DAP menerusi podcast Yang Berhenti Menteri yang disiarkan pada Jumaat lalu.

Mengulas lanjut, Anthony menjelaskan bahawa cadangan untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan serentak dengan Johor bukanlah perkara baharu kerana ia telah dibincangkan secara terbuka dalam satu konvensyen PH yang turut dihadiri Perdana Menteri serta Aminuddin sendiri.

Malah, katanya, Menteri Besar Negeri Sembilan ketika itu turut menyatakan persetujuan terhadap cadangan berkenaan.

“Selepas DUN Johor dibubarkan, saya sendiri menghubungi beliau untuk mendapatkan pendirian dan beliau menyatakan kesediaan untuk membubarkan DUN Negeri Sembilan,” katanya.

Kenyataan Anthony itu sekali gus menafikan dakwaan bahawa keputusan pembubaran DUN dibuat atas desakan mana-mana pihak, sebaliknya merupakan keputusan bersama yang dicapai melalui perbincangan dalam kepimpinan PH Negeri Sembilan.

Kongsi pada platform lain