MELAKA, 3 Oktober — Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Dr Aleef Yusof akhirnya mengesahkan penyertaannya ke Parti Wawasan Negara (WAWASAN), sekali gus meninggalkan BERSATU selepas sebelum ini menyatakan akan kekal bersama parti itu.
Aleef menerusi Facebooknya hanya memaklumkan secara ringkas, “Alhamdulillah. Saya kini ahli Parti Wawasan Negara.”
Perkembangan itu menjadi perhatian kerana pada 31 Mac lalu, Aleef dilaporkan berkata beliau akan terus kekal bersama BERSATU ketika parti berdepan kemelut dalaman.
Aleef sebelum ini memenangi DUN Sungai Udang pada PRN Melaka 2021 atas tiket PN-BERSATU dengan majoriti 530 undi dalam pertandingan empat penjuru.
Penyertaannya ke WAWASAN turut mengukuhkan perkembangan politik baharu susulan kemelut BERSATU, selain beliau sebelum ini dilaporkan berada dalam kelompok yang menyokong bekas Timbalan Presiden BERSATU, Hamzah Zainudin.
Dengan PRN Melaka semakin hampir, langkah Aleef ini dijangka menjadi antara perkembangan yang terus diperhatikan, khususnya berhubung kedudukan politiknya di Sungai Udang.
