JOHOR, 21 Mei – Pelawak dan penyampai radio terkenal, Shahrol Shiro mencuri perhatian ramai selepas tampil dengan sebuah lagu dan video sindiran dipercayai sebagai tanda sokongan terhadap Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi.
Tindakan itu dilihat susulan kenyataan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim yang mendakwa dirinya “diperlekeh oleh budak” ketika menyentuh isu berkaitan pentadbiran dan politik semasa dalam satu ucapan baru-baru ini.
Menerusi video yang tular di media sosial, Shahrol secara sinis menyebut:
“Nama budak itu Datuk Onn Hafiz Ghazi.”
Ungkapan tersebut dipercayai merujuk secara langsung kepada Menteri Besar Johor itu, sekali gus menghangatkan lagi perbincangan politik di media sosial.
Rata-rata netizen melihat tindakan Shahrol sebagai simbolik sokongan anak Johor terhadap kepimpinan Onn Hafiz yang sebelum ini sering dipuji kerana pendekatan turun padang dan aktif menyelesaikan isu rakyat.
Pada masa sama, terdapat juga pihak yang menganggap sindiran terbuka itu sebagai kritikan terhadap gaya politik kerajaan Persekutuan ketika ini.
Isu tersebut terus menjadi perhatian apabila beberapa klip video dan hantaran berkaitan mula dikongsi secara meluas di platform Facebook dan X sejak semalam.
