ISU SEMASA
Analisis PRU: Peralihan sokongan pengundi muda mencorakkan landskap politik baharu. Suara Rakyat: Isu kos sara hidup dan pemulihan ekonomi terus menjadi perbincangan utama. Parlimen: Kebebasan bersuara yang bertanggungjawab wadah pemantapan demokrasi negara. Komentar Jurnal: Kepentingan maklumat sahih dan berfakta dalam mendepani cabaran isu semasa.

Jangan Gadai Asas Negara Demi Politik – Zakaria Dullah

1–2 minutes

KUALA LUMPUR, 27 Mei – Penaung Briged Negaraku merangkap Timbalan Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam, Datuk Zakaria bin Dullah menegaskan bahawa rakyat semakin bimbang melihat keberanian segelintir pihak yang mula mempertikaikan perkara asas negara secara terbuka.

Menurut beliau, isu membabitkan kedudukan Islam, institusi Raja-Raja Melayu, hak Melayu Bumiputera serta Perlembagaan Persekutuan tidak sepatutnya dijadikan bahan politik atau dipersoalkan sesuka hati kerana ia merupakan asas pembentukan negara sejak merdeka.

Katanya, kebebasan bersuara dalam negara demokrasi tetap mempunyai batas dan tidak boleh dijadikan alasan untuk menghina agama, memperlekeh institusi negara atau menimbulkan ketegangan kaum.

“Malaysia dibina atas persefahaman sejarah dan Perlembagaan yang dipersetujui bersama. Jika asas ini terus dicabar tanpa rasa hormat, rakyat sudah tentu akan merasa bimbang terhadap masa depan negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut melahirkan kebimbangan apabila terdapat pemimpin Melayu sendiri yang dilihat semakin berdiam diri dalam mempertahankan perkara berkaitan agama, bangsa dan institusi negara demi menjaga kepentingan politik tertentu.

Menurutnya, perbezaan pandangan politik adalah perkara biasa, namun prinsip dan maruah negara tidak boleh digadai hanya kerana mahu meraih sokongan atau kuasa.

Dalam masa sama, beliau menyeru semua kaum agar terus memelihara keharmonian negara dengan menghormati sensitiviti yang telah dipersetujui bersama sejak sekian lama.

“Rakyat tidak mahu politik kebencian yang boleh merosakkan perpaduan. Negara memerlukan pemimpin yang berani mempertahankan asas negara dengan kebijaksanaan dan ketegasan,” ujarnya.

Datuk Zakaria turut mengingatkan bahawa keamanan dan kestabilan yang dinikmati hari ini tidak akan kekal sekiranya perkara asas negara terus dipermainkan oleh mana-mana pihak.

Kongsi pada platform lain