JOHOR BAHRU, 20 Mei – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim memuji pendekatan kerajaan negeri Johor yang disifatkan mengamalkan politik matang apabila memberikan peruntukan secara sama rata kepada semua ADUN termasuk pembangkang.
Menerusi satu perkongsian video di aplikasi TikTok, beliau berkata walaupun Johor bukan sebuah kerajaan perpaduan, kepimpinan Kerajaan Negeri Johor (BN) tetap memilih pendekatan inklusif demi kepentingan rakyat.
Menurut Marina, amalan tersebut telah dimulakan sejak pentadbiran bekas Menteri Besar, Hasni Mohammad dan diteruskan oleh Menteri Besar sekarang, Onn Hafiz Ghazi.
“Johor bukan kerajaan perpaduan, tetapi pimpinan Kerajaan negeri Johor membahagikan peruntukan sama rata kepada semua ADUN termasuk ADUN pembangkang,” katanya.
Beliau turut mendakwa Onn Hafiz Ghazi bukan sahaja meneruskan dasar tersebut, malah melibatkan wakil rakyat selain BN dalam merangka dasar kerajaan negeri serta menyertai Jawatankuasa Tindakan Daerah (JTPD).
Katanya, pendekatan itu membuktikan kepimpinan negeri lebih mengutamakan kestabilan dan kebajikan rakyat berbanding perbezaan politik.
Sumber : Tiktok @marinaibrahim48skudai
