KUALA LUMPUR, 19 Mei – Kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP, Tony Pua, mengenai konsep Raja Berperlembagaan di Malaysia mencetuskan perdebatan dalam kalangan orang ramai serta pemerhati politik.
Tony berkata, Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan yang mengehadkan kuasa raja kepada perkara tertentu seperti adat Melayu, Islam serta peranan berperlembagaan termasuk pelantikan Menteri Besar dan perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).
Beliau turut menegaskan bahawa undang-undang negara digubal oleh wakil rakyat yang dipilih melalui proses demokrasi di Parlimen dan DUN, selaras dengan prinsip Rukun Negara iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan serta Kedaulatan Undang-Undang.
Bagaimanapun, kenyataan tersebut menerima pelbagai reaksi daripada netizen yang berpendapat ia boleh menimbulkan salah faham terhadap kedudukan institusi Raja dalam sistem negara.
Terdahulu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah menasihatkan Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Kembangan, Wong Siew Ki serta bekas Exco DAP, Ronnie Liu supaya hadir ke Dataran Selangor sekali seminggu bagi memahami dan menghayati Rukun Negara.
Baginda menegaskan langkah itu bertujuan memperkukuh kefahaman mengenai hormat kepada institusi Raja serta adab sopan dan kesusilaan dalam kalangan rakyat.
Setakat ini, belum ada kenyataan lanjut daripada Tony Pua berhubung reaksi yang timbul susulan kenyataan tersebut.
