ISU SEMASA
Analisis PRU: Peralihan sokongan pengundi muda mencorakkan landskap politik baharu. Suara Rakyat: Isu kos sara hidup dan pemulihan ekonomi terus menjadi perbincangan utama. Parlimen: Kebebasan bersuara yang bertanggungjawab wadah pemantapan demokrasi negara. Komentar Jurnal: Kepentingan maklumat sahih dan berfakta dalam mendepani cabaran isu semasa.

Korban Perdana DUN Lenggeng Manfaat Lebih 1,500 Keluarga

1–2 minutes

LENGGENG, 28 Mei — Program Korban Perdana DUN Lenggeng yang berlangsung di Masjid Al-Munawwarah Kariah Panchor Jaya hari ini berjalan lancar dengan penglibatan aktif penduduk setempat, sukarelawan dan jawatankuasa masjid dalam suasana penuh semangat ukhuwah dan gotong-royong.

Program yang diadakan sempena sambutan Aidiladha itu bermula seawal jam 8.30 pagi dan menyaksikan sebanyak 23 ekor lembu korban disembelih sebelum diagihkan kepada golongan yang memerlukan di sekitar kawasan DUN Lenggeng.

Secara keseluruhan, pelaksanaan program ini dijangka memberi manfaat kepada lebih 1,500 keluarga termasuk asnaf, warga emas serta penduduk setempat yang layak menerima agihan.

Usahawan Tempatan KRS AGROTECH

Selain menghidupkan ibadah korban, program ini turut memberi impak kepada ekonomi setempat apabila lembu korban yang digunakan dibeli daripada KRS AGROTECH serta beberapa usahawan dan penternak tempatan di kawasan Lenggeng.

Semangat kerjasama jelas terserlah apabila penduduk bersama-sama membantu proses penyembelihan, melapah dan pengagihan daging korban sehingga selesai.

Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua jawatankuasa masjid, penyumbang, petugas serta sukarelawan yang telah menjayakan program ini dengan penuh dedikasi.

Mereka turut berharap agar ibadah korban yang dilaksanakan diterima Allah SWT serta membawa keberkatan, rahmat dan kesejahteraan kepada seluruh masyarakat setempat.

Kongsi pada platform lain